Followers

Monday, October 5, 2009

Indonesia usah bangkit isu keruh hubungan Malaysia

KUALA LUMPUR: Indonesia tidak harus membangkitkan isu yang boleh mengeruhkan hubungannya dengan Malaysia yang sentiasa bersedia menyalurkan bantuan setiap kali berlaku bencana alam di republik itu.

Pengarah Lembaga Pengkajian Masalah Sosial Pekerja Indonesia, Khairuddin Harahap, berkata baik kerajaan mahu pun rakyat Indonesia, perlu menitikberatkan soal setiakawan yang terjalin dengan Malaysia sejak sekian lama dan terbukti pada saat-saat getir dihadapi Jakarta, seperti sekarang.

"Janganlah diungkit lagi isu yang boleh mengeruhkan hubungan. Malah, baik kerajaan mahu pun rakyat Indonesia harus bersyukur kerana masyarakat Malaysia tidak menyimpan dendam bahkan masih sudi menghulur bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa di Padang, Sumatera," katanya.

Beliau mengulas keprihatinan Malaysia kepada mangsa gempa bumi di negara itu biarpun sebelum ini dikecam teruk gara-gara tarian Pendet selain tewas hak perebutan batik dari Unesco yang menyebelahi Jakarta, baru-baru ini.

Khairuddin memuji sikap Malaysia yang disifatkannya pemaaf dan kaya rasa kemanusiaan.

"Sehubungan itu, keprihatinan Kuala Lumpur sewajarnya dibalas Jakarta dengan tidak membuat tuntutan remeh-temeh. Malah Kerajaan Indonesia perlu menggesa rakyatnya berganding bahu dengan sukarelawan negara ini menangani kegawatan dan kesengsaraan akibat bencana gempa," katanya.

Khairudin berkata, daripada menimbulkan isu sosial yang membuahkan sentimen benci, Indonesia sepatutnya memikirkan kesan tuntutan dan kritikan itu terhadap rakyatnya yang bertugas di sini.

0 comments: