Followers

Tuesday, October 6, 2009

Malaysia minat adakan hubungan kerjasama dua hala dengan Qatar

DOHA: Malaysia berminat mengadakan hubungan kerjasama dua hala di dalam pelbagai bidang dengan Qatar, yang bertujuan meningkatkan jumlah perdagangan dan mempelbagaikan pelaburan antara kedua-dua negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, berkata bidang itu termasuk industri, kewangan, pertanian, standard dan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di dalam bioteknologi.

Katanya, bidang lain termasuk pelancongan, hospitaliti, hartanah dan pewujudan Pusat Asean dan Rantau Asia Timur serta penyertaan syarikat Malaysia di dalam pembinaan dan perkhidmatan perundingan di dalam pembangunan infrastruktur Qatar.

Beliau berkata demikian di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) selepas mesyuarat sulung Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) Malaysia-Qatar di sini, Isnin.

Mesyuarat itu, susulan dari pemeteraian Perjanjian Perdagangan yang ditandatangani di Kuala Lumpur pada 20 Mei, 2009, semasa lawatan Emir Qatar ke Malaysia, memfokuskan usaha untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua negara.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Mustapa dan pemangku Menteri Perniagaan dan Perdagangan dan Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa Qatar, Dr Khalid Muhammad Al-Attiyah.

Mustapa berkata, usaha sektor swasta kedua-dua negara perlu digalakkan untuk memainkan peranan yang lebih aktif meneroka peluang perdagangan dan pelaburan di Malaysia dan Qatar.

Dalam hubungan ini, beliau mengalu-alukan usaha kerajaan Qatar melakukan pembaharuan untuk menggalakkan sektor swasta dan pelabur asing melakukan penyertaan meluas di dalam pembangunan negara itu.

Mustapa juga mengucapkan terima kasih terhadap kerajaan Qatar kerana memberikan peluang kepada syarikat Malaysia untuk mengambil bahagian di dalam pembangunan ekonomi Qatar, khususnya di dalam pembinaan dan perkhidmatan profesional.

Beliau juga menekankan mengenai keupayaan Malaysia untuk menyumbang terhadap strategi pembangunan Qatar dan kesediaan Malaysia berkongsi pengalaman di dalam perancangan pembangunan negara terbabit.

Kebanyakan pelaburan Malaysia di Qatar adalah di dalam pembangunan infrastruktur, yang termasuk pembinaan lebuh raya dan lapangan terbang dan di dalam aktiviti huluan di dalam industri minyak dan gas.

Beliau turut menjelaskan mengenai keupayaan syarikat Malaysia di dalam pengangkutan awam, yang termasuk monorel dan kemudahan pengurusan bahan buangan cecair berbahaya.

Sambil mengulas pelaburan Qatar di dalam Asian Finance Bank dan Pavillion Mall di Malaysia, beliau berkata, terdapat juga potensi bagi meningkatkan aliran menyilang pelaburan di dalam sektor pembuatan antara kedua-dua negara.

Malaysia juga mengalu-alukan pelaburan Qatar di dalam sektor hartanah dan di

Iskandar Malaysia, katanya.

Mustapa turut menggalakkan lebih ramai rakyat Qatar untuk melawat Malaysia, yang disifatkannya sebagai destinasi nilai bagi wang yang kini kian dikenali bagi pelancongan perubatannya.

Pada 2008, Qatar adalah rakan perdagangan kelapan terbesar Malaysia di kalangan 15 negara Asia Barat.

Perdagangan dua hala antara Qatar dan Malaysia berjumlah AS$510.3 juta (RM1.8 bilion), yang juga adalah peningkatan 61.5 peratus dari tahun sebelumnya.

Eksport berjumlah AS$241.1 juta (RM835.5 juta), merosot 0.2 peratus daripada tahun lalu manakala import berjumlah AS$269.2 juta (RM935.4 juta), yang meningkat 11 kali berbanding tahun lalu, yang kebanyakannya dipacu oleh kenaikan harga minyak mentah.

Pada 2008, eksport utama Malaysia ke Qatar ialah "transformer" dan alat ubah alih elektrik, peralatan saintifik, produk logam dan makanan diproses.

Import utama Malaysia ialah minyak mentah dan produk petroleum.

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2009, jumlah dagangan dengan Qatar mencecah AS$289.8 juta (RM1.0 bilion), yang mencatatkan pertumbuhan 22.2 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada 2008.

Mustapa turut menyambut baik minat yang ditunjukkan oleh Persatuan Ahli Perniagaan Qatar untuk melawat Malaysia pada awal 2010 dan memberi jaminan kepada mereka bahawa Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan membantu memudahkan lawatan itu. - Bernama

0 comments: