Followers

Tuesday, October 6, 2009

Jerman akan tingkat hubungan dengan Malaysia

KUALA LUMPUR: Jerman bersedia meningkatkan lagi kerjasamanya dengan Malaysia, dalam bidang ekonomi dan politik, menerusi lawatan-lawatan pegawai tertinggi, kata Duta Besar Jerman ke Malaysia, Dr Gunter Gruber.

"Saya yakin tidak lama lagi, pegawai kanan kedua-dua negara, dari Malaysia akan ke Jerman, dan sebaliknya.

"Ia akan meningkatkan kerjasama antara Jerman dan Malaysia, yang kini sangat baik, dan boleh dipertingkat dan banyak lagi yang boleh dilakukan," katanya kepada Bernama pada majlis resepsi yang berlangsung pada Selasa sempena Hari Perpaduan Jerman yang juga Hari Kebangsaan negara itu.

Beliau berharap hubungan mesra yang sedia ada antara kedua-dua negara akan terus dipertingkat dan diperkukuh di semua peringkat.

Hari Perpaduan Jerman disambut pada 3 Oktober. Ia memperingati ulang tahun penyatuan semula Jerman pada 1990.

Pilihan alternatif ialah hari Tembok Berlin dirobohkan pada 9 November 1989, bersempena ulang tahun perisytiharan Republik Jerman pada 1918.

Mengenai ulang tahun itu, Gruber berkata: "Hari ini ialah hari perayaan untuk rakyat Jerman, Hari Kebangsaan, ulang tahun ke-16, 20 tahun selepas Tembok Berlin dirobohkan."

Beliau berkata, keadaan kini semakin aman berbanding sebelumnya.

"Saya gembira kerana kami dapat menyambutnya di Malaysia yang kedudukan politiknya stabil. Kami juga boleh meningkatkan kerjasama dengan Malaysia, terutama dengan kerajaan baru," katanya.

Hubungan politik antara Malaysia dan Jerman sangat mesra dan secara prinsipnya berasaskan hubungan ekonomi kedua-dua negara yang intensif.

Antara negara anggota Asean, Malaysia dan Singapura, adalah dagang utama Jerman.

Jerman adalah rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia pada 2008, dengan dagangan dua hala bernilai EUR8.38 bilion. - Bernama

0 comments: