Followers

Tuesday, October 6, 2009

Kabinet tentukan kedudukan pelajar Malaysia, esok

PUTRAJAYA: Kabinet dijangka membuat keputusan mengenai status 330 pelajar Malaysia di Universitas Andalas (Unand), Padang, Indonesia esok.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata beliau akan membentangkan perkara itu dalam mesyuarat kabinet esok, untuk mencari jalan penyelesaian berhubung masalah berkenaan.

Katanya pihak pengurusan Universitas Andalas telah memanggil kesemua pelajar untuk meneruskan pengajian mereka dalam bidang perubatan pada 12 Oktober ini.

" Walaupun telah dipanggil pulang, namun saya percaya mereka dalam proses untuk mengkaji dan menilai kemampuan untuk meneruskan pengajian di sana," katanya kepada pemberita selepas sesi Dialog Industri 2009 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kedudukan pelajar Malaysia di Unand selepas dihantar pulang akibat gempa bumi yang melanda Sumatera Barat, Rabu lalu.

Beliau berkata, walaupun kerajaan sentiasa berusaha untuk membantu para pelajar berkenaan namun harus diakui bahawa perkara itu tidak boleh diselesaikan hanya dengan melibatkan satu kaedah.

Urusan pelajar berkenaan, katanya perlu diteliti secara mendalam kerana ia membabitkan pelbagai perbezaan dan latar belakang pelajar.

"Antara aspek yang dikenal pasti ialah ada antara pelajar itu yang ditaja oleh kerajaan manakala ada yang menggunakan biaya sendiri.

Penyelesaiannya bergantung sama ada kita dapat melakukan pemindahan kredit untuk mereka meneruskan pelajaran di universiti lain di Indonesia, atau di Malaysia. Kita juga kena lihat sama ada terdapat tempat kosong atau tidak di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) negara ini," katanya.

Mohamad Khaled berkata, sebahagian besar pelajar itu juga telah membuat bayaran penuh untuk tahun ini kepada Unand dan mereka terpaksa menanggung beban kewangan yang agak tinggi jika ingin meneruskan pengajian di Malaysia berikutan bayaran yuran yang lebih mahal berbanding negara jiran.

"Kita pun tahu bahawa sebahagian daripada kursus perubatan negara kita adalah lebih mahal, maka sudah tentulah para pelajar itu akan berdepan dengan masalah kewangan jika mendapat tempat untuk meneruskan pengajian dalam negara kerana perlu membayar semula yuran," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Khaled turut meminta agar sumbangan yang diberikan untuk mangsa gempa bumi itu turut disalurkan kepada supaya pelajar Malaysia yang terbabi.

"Kerana sikap pemurah rakyat Malaysia, kita telah mewujudkan pelbagai tabung, termasuk daripada kementerian sendiri dan saya merayu supaya dalam kita membelanja dan mengagihkan duit tabung itu, kita turut ambil kira dan jangan lupa bahawa pelajar kita juga merupakan mangsa kepada bencana itu.

"Mungkin sebagai ganti kepada apa yang telah mereka telah bayar kepada universiti, sama ada mereka diterima masuk ke universiti lain di Indonesia, kita guna (sumbangan) itu juga untuk membantu mereka supaya tak berdepan dengan masalah lain," katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pelajar IPTA atau IPTS yang didapati terlibat dengan sebarang kempen politik, terutamanya dalam menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang.

Katanya, kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelajar yang didapati melanggar undang-undang di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971. - Bernama

0 comments: