Followers

Tuesday, May 26, 2009

Ada pihak galak ideologi komunis: Zahid

PETALING JAYA: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini menyelar usaha beberapa pertubuhan tidak berdaftar dan parti politik yang didapati bagaikan sengaja menggalakkan kemunculan semula ideologi komunis dalam negara.

Beliau berkata, ini kerana pihaknya mendapati ada pihak tertentu termasuk beberapa pertubuhan haram yang seakan-akan mengambil kesempatan dengan cuba menghidup dan menyebarkan sentimen mengenai ideologi itu melalui pelbagai cara.

Katanya, lebih mengejutkan apabila ada juga yang seakan cuba membangkitkan dan menyebarkan sentimen itu melalui parti-parti politik.

"Saya tidak dapat memaklumkan secara khusus tentang adanya gerakan untuk hidupkan ideologi komunis dalam negara, tetapi ada macam suatu usaha yang berbaur komunis yang cuba dihidupkan semula oleh beberapa badan yang tidak berdaftar dan ada juga yang mahu hidupkannya melalui parti politik," katanya kepada pemberita selepas melawat Markas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, dekat sini.

Sementara itu, mengulas hasrat pembelian Eurocopter EC725 bagi menggantikan helikopter Nuri yang masih tertangguh, Ahmad Zahid berkata kementerian akan mengemukakan usul kepada kerajaan mengenai beberapa kaedah pakej pembelian yang tidak akan membebankan.

"Adalah lebih baik sekiranya Nuri dapat digantikan dengan yang baru, namun menyedari masalah kelembapan ekonomi global ketika ini, pemilikan aset baru itu mungkin boleh dilakukan menerusi kaedah pembelian yang akan dicadangkan nanti," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata sebagai menteri pertahanan yang paling "junior" di rantau ini beliau akan mengunjungi rakan-rakan sejawatannya bagi bertukar pandangan dan fikiran serta memperkukuhkan kerjasama pertahanan antara negara.

"Lawatan yang akan saya lakukan nanti bukan sekadar bertukar pandangan dan fikiran tetapi untuk memperkukuh pertahanan serantau. Perhubungan dengan negara lain perlu diperkukuhkan agar dalam apa keadaan sekalipun negara dapat siap siaga menghadapi apa jua keadaan," katanya. - Bernam

0 comments: