Followers

Tuesday, May 26, 2009

RM2.2j naik taraf jalan Kg. Lingkungan Laut

BEAUFORT 25 Mei – Penantian lebih 20 tahun penduduk Kampung Lingkungan Laut untuk menikmati kemudahan jalan yang sempurna berakhir apabila kerajaan bersetuju memperuntukkan RM2.2 juta bagi menaik taraf jalan di kampung berkenaan.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad berkata, kerja-kerja menaik taraf jalan itu akan bermula sebaik majlis pelancaran semalam tamat dan dijangka siap akhir tahun ini.

Menurutnya, kerja menaik taraf jalan raya sejauh 1.9 kilometer (km) adalah bertujuan menyelesaikan masalah penduduk di situ yang sekian lama menghadapi jalan yang tidak berturap.

“Keputusan kerajaan untuk menaik taraf jalan raya kampung itu juga bukti kesungguhan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membawa pembangunan di seluruh kawasan termasuklah di luar bandar.

“Dengan adanya jalan raya ini akan memudahkan penduduk di situ untuk memulakan kehidupan yang lebih selesa dan memberi manfaat kepada penduduk di situ,” katanya selepas melakukan upacara pecah tanah projek naik taraf jalan kampung berkenaan semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Kamarlin Ombi; Penolong Pegawai Daerah Beaufort, Aliamat Zamzam dan Pemimpin Kemajuan Rakyat Lumadan, Ahmad Mumin.

Sapawi berkata, selain menaik taraf jalan raya, kerajaan juga akan melaksanakan projek infrastruktur lain seperti menyediakan bekalan elektrik dan air tidak lama lagi.

0 comments: