Followers

Tuesday, May 26, 2009

17 notifikasi kes H1N1 masih di wad isolasi

KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 notifikasi kes dimasukkan ke wad isolasi di enam buah Hospital Rujukan Influenza A (H1N1) untuk tujuan penyiasatan setakat jam 8 pagi hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata daripada kes itu, enam dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor; empat di Hospital Kuala Lumpur; tiga di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban; dua di Hospital Queen Elizabeth, Sabah; dan masing-masing satu kes di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu.

"Daripada 17 notifikasi itu, 10 telah sah bebas daripada jangkitan oleh ujian makmal dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sementara bakinya masih menunggu keputusan ujian makmal," katanya dalam satu kenyataan ke sini, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 26 notifikasi baru kes Influenza A(H1N1) semalam, menjadikan jumlah kes yang dilaporkan kepada Bilik Pusat Kesiapsiagaan dan Bertindak Cepat (CPRC) sehingga jam 8 pagi ini sebanyak 269 kes.

Katanya, semua 26 yang diterima semalam disahkan bebas daripada jangkitan virus itu.

"Malaysia masih kekal dengan dua kes jangkitan seperti yang dilaporkan pada 15 dan 16 Mei lalu dan setakat ini tiada transmisi berlaku di negara ini," katanya.

Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut melaporkan dua lagi negara, iaitu Kuwait dan Iceland, mengesahkan jangkitan Influenza A (H1N1), menjadikan 46 buah negara terbabit dengan 12,566 kes yang disahkan seluruh dunia.

Kuwait dan Iceland masing-masing mengesahkan satu kes semalam.

Menurut WHO peningkatan kes berlaku dalam jangka masa 24 jam iaitu di Peru sebanyak lapan kes, Jepun (enam), United Kingdom (empat), Sepanyol (tiga), China (tiga), Hong Kong (dua), Australia, Filipina, Colombia dan Rusia masing-masing satu kes.

Tiada kematian baru dilaporkan dan kematian akibat jangkitan influenza A(H1N1) masih kekal pada 91 kes.

Dr Ismail berkata, dalam tempoh 24 jam sehingga jam 8 pagi ini, seramai 9,972 individu yang tiba dari negara terbabit melalui udara, air dan darat disaring, dengan tiga kes daripada jumlah itu dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Maklumat lanjut mengenai Influenza A(H1N1) boleh diperoleh di www.moh.gov.my. - Bernama

0 comments: