Followers

Tuesday, May 26, 2009

Sabah & Sarawak: Tambunan mampu jadi pengeluar halia terbesar negara: Pairin

TAMBUNAN: Pengeluaran halia di daerah ini sudah menembusi pasaran peringkat kebangsaan apabila berupaya mampu memenuhi kira-kira 30 peratus permintaan keseluruhan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Joseph Pairin Kitingan, berkata sebahagian besar kawasan di Tambunan dan di seluruh negeri berpotensi besar serta sesuai dijadikan kawasan penanaman halia secara komersial.

Katanya, ia terbukti apabila program penanaman halia di beberapa kampung di daerah itu mula mengeluarkan hasil dan sedia dipasarkan.

"Kerajaan sentiasa menggalakkan penduduk mengusahakan tanaman halia kerana kesesuaian tanah di seluruh daerah wajar dimanfaatkan.

"Ini ditambah dengan keadaan tanaman itu yang mengambil masa singkat untuk mengeluarkan hasil,” katanya selepas merasmikan Pesta Kaamatan peringkat mukim dekat sini, kelmarin.

Hadir sama Pegawai Daerah Tambunan, Thomas Angor dan lebih 2,000 masyarakat pelbagai kaum.

Pairin yang juga Ahli Parlimen Keningau berkata, potensi sektor pertanian di Tambunan boleh diperluaskan merangkumi padi, sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Rakyat harus berusaha mempelbagaikan sumber pendapatan dengan menceburi bidang pertanian, ternakan dan pelancongan ke arah memantapkan taraf hidup," katanya.

Beliau turut menasihatkan petani di daerah itu supaya menanam padi dua kali setahun kerana kapasiti semasa pengeluaran beras Tambunan hanya menyumbang enam peratus daripada keperluan beras di Sabah.

Kawasan sawah yang luas wajar digunakan untuk tujuan penanaman padi secara komersial dan kerajaan sedia membantu menerusi Jabatan Pertanian.

"Saya yakin jika petani menyahut seruan kerajaan untuk menanam padi dua kali setahun, jumlah pengeluaran beras kita mampu mencapai 12 peratus daripada keperluan.

"Langkah ini juga akan meningkatkan pendapatan petani, sekali gus membantu kerajaan mengurangkan import beras," katanya.

0 comments: