Followers

Monday, October 4, 2010

Kenyataan Azmin terhadap Dr Mahathir tidak wajar: Muhyiddin

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata tindakan calon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali, menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai "pemimpin yang sedang tersungkur", tidak wajar dan tidak mencerminkan nilai akhlak yang baik seorang pemimpin.
"Ini tak sepatutnya berlaku. Kita dalam politik, kita mesti ada nilai moral dan akhlak dan sebagai manusia kita juga mesti hormat menghormati.
"Tun Mahathir adalah seorang negarawan ulung yang sudah banyak berjasa kepada negara," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Azmin hari ini yang menyifatkan Tun Dr Mahathir yang sedang menerima rawatan di Melbourne, Australia kerana jangkitan paru-paru sebagai "pemimpin yang sedang tersungkur" di negara itu.
Azmin membuat sindiran itu ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan PKR cabang Gombak semalam.

Pemimpin PKR itu juga dilaporkan sebagai berkata bahawa ia disebabkan kedegilan Mahathir bersekongkol dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang didakwa memperjuangkan agenda perkauman sempit.

Muhyiddin berkata, Azmin sepatutnya berpandu kepada perasaan kemanusiaan.

"Bila Tun Mahathir uzur dan masuk hospital, seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar Tun cepat sembuh dan pulang untuk berkhidmat kepada negara atas kapasiti beliau sebagai bekas Perdana Menteri.
"Jadi kenyataan itu tidak sepatutnya timbul kerana kita saling hormat-menghormati. Tak tahulah kalau begitulah kepimpinan dalam PKR," katanya. - BERNAMA

0 comments: