Followers

Monday, October 4, 2010

Dasar luar bandar baru tingkat pendapatan penduduk: Shafie

ALOR SETAR: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan memperkenalkan dasar baru tidak lama lagi yang akan memberikan lebih banyak tumpuan kepada usaha bagi meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar dan bukan hanya bertumpu kepada pembinaan infrastruktur.
Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata dasar pembangunan luar bandar yang baru itu akan menumpukan kepada kegiatan ekonomi yang mampu memberikan pendapatan yang tinggi kepaada penduduk luar bandar.
Beliau berkata, menerusi pendekatan baru, kawasan-kawasan yang terbiar akan dimajukan sebagai sumber ekonomi yang dapat membantu masyarakat setempat dan negeri.
Katanya, dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), kementerian itu memberikan lebih banyak tumpuan kepada pembangunan ekonomi yang dapat memberikan peluang pekerjaan dan pendapatan kepada masyarakat luar bandar.

"Ia bukan hanya bina jalan, buat lampu, buat rumah. Paling penting kena pastikan kegiatan ekonomi di luar bandar ini akan lebih membabitkan usaha untuk meningkatkan pendapatan masyarakat," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Dataran Keda di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata beliau yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan terus memberikan perhatian kepada pembangunan luar bandar dalam Bajet 2011 supaya kawasan itu tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Mengenai KEDA, beliau berkata kementerian akan memastikan KEDA mendapat peruntukan yang sesuai untuk meneruskan lagi usaha pembangunan masyarakat luar bandar di Kedah dalam RMK-10.
Katanya, pihaknya dengan kerjasama kerajaan negeri melanjutkan usia KEDA untuk 10 tahun lagi bagi meneruskan usaha pembangunan sebelum ini. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget