Followers

Tuesday, August 17, 2010

67 sukarelawan Misi Kemanusiaan kelab Putera 1Malaysia ke Gaza tiba di Kaherah

KAHERAH (Mesir): 67 sukarelawan Misi Kemanusiaan ke Gaza anjuran Kelab Putera 1Malaysia dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) selamat tiba di Kaherah, Mesir, pada jam 10.15 malam (waktu tempatan), semalam (kira-kira 4.15 pagi waktu Malaysia).

Pasukan itu berlepas dari sempadan Rafah menggunakan dua bas pada jam 3 petang selepas menunggu hampir dua jam di Bangunan Imigresen Mesir di sempadan Rafah yang memisahkan Semenanjung Gaza dan Mesir.
Menyambut ketibaan mereka ialah pegawai Kedutaan Malaysia di Mesir yang diketuai Kuasa Usaha Sementara, Shaiful Anwar Mohammad dan Setiausaha politik kepada menteri luar, Datuk Norhaidi Che Dan.
Misi kemanusiaan yang diketuai presiden kelab, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim memasuki Gaza pada 9 Ogos untuk menyampaikan bantuan makanan, pakaian raya, selimut dan ubat-ubatan kepada penduduk Gaza sempena bulan Ramadan.

Sepanjang lapan hari berada di wilayah konflik itu, sebanyak 2,750 keluarga membabitkan 5,000 penerima di Bandar Gaza, Jabalyah, Der Al-Balah, Khan Younis dan Rafah, termasuk kawasan Saifa yang bersempadan dengan Israel di utara Gaza, mendapat bantuan.

Misi kemanusiaan itu turut menyampaikan sumbangan ubat-ubatan dan kelengkapan perubatan kepada lima hospital dan klinik komuniti yang dikendalikan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), juga di kawasan sama.

Ubat-ubatan dan kelengkapan perubatan bernilai AS$10,000 turut disampaikan kepada hospital dan klinik kerajaan menerusi sumbangan kepada pemimpin Hamas yang bertanggungjawab bagi sektor kesihatan di Gaza, Dr Basem N Naim.
Misi kemanusiaan yang turut disertai 35 doktor, paramedik dan pakar perubatan pelbagai kaum itu juga mengadakan latihan kecemasan dan trauma di Hospital Al-Amal di Khan Younis selain membantu doktor tempatan merawat pesakit.

Sumbangan kewangan, masing-masing AS$2,500, turut disampaikan kepada lima masjid di wilayah Gaza.

Persinggahan terakhir misi kemanusiaan itu ialah di Yayasan Kanak-Kanak Avenir Palestin dan di sana Abdul Azeez menyampaikan sumbangan kewangan 100 shekel kepada 400 kanak-kanak kurang upaya.

Sebelum itu, beliau turut menyampaikan sumbangan 10,000 shekel kepada wakil persatuan nelayan di Bandar Gaza, Mahmood Abdul Aziz di kawasan perkampungan nelayan Bandar Gaza bagi mengadakan majlis berbuka puasa untuk 1,500 nelayan di kawasan itu. - Bernama

0 comments: