Followers

Tuesday, August 17, 2010

Bayi terlantar lumpuh sejak kepala dipatuk ular tedung

KANGAR: Seorang bayi lelaki berusia 18 bulan terlantar sejak lebih tiga bulan lalu apabila mengalami lumpuh kekal selepas kepalanya dipatuk ular tedung ketika bermain di kediaman neneknya di Kampung Bukit Merah, dekat Beseri, di sini.

Mohd Asri Mohd Indrasuadi, anak bongsu daripada tiga beradik, turut mengalami kegagalan fungsi saraf selepas bisa ular tedung terbabit dikatakan merebak ke otaknya.
Keadaan itu menyebabkan Mohd Asri yang sebelum ini terlantar koma selama 45 hari, mengalami kekejangan otot kekal, sekali gus hanya mampu terbaring dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan ibunya, Noor Amali Ahmad, 27.
Noor Amali, ketika ditemui, berkata Mohd Asri bukan saja tidak boleh bergerak, malah dia juga tidak mampu menelan makanan dan hanya meminum susu melalui tiub nesogastrik yang disalurkan melalui hidung terus ke ususnya.

"Ibu mana yang tidak sedih melihatkan anak yang sihat dan baru saja boleh bertatih kini terlantar menderita.

"Saya tidak tahu apa lagi yang boleh saya ikhtiarkan untuk membantu Mohd Asri. Paling saya khuatir, dia akan terus terlantar begitu selama-lamanya sedangkan usianya baru saja bermula dan masih lagi panjang," katanya sebak.

Menceritakan kejadian malang itu, Noor Amali berkata, ketika itu Mohd Asri yang baru pandai berjalan sedang bermain seorang diri di dalam sebuah bilik di rumah neneknya, sebelum dia didengari menangis.
Selepas diperiksa, katanya, kepalanya Mohd Asri didapati berdarah.

Selepas Mohd Asri tidak berhenti menangis dia kemudian terus meminta bantuan jiran untuk membawa bayi itu ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, untuk pemeriksaan lanjut.

Pihak hospital selepas menjalankan pemeriksaan kemudian mengesahkan Mohd Asri dipatuk ular. Berikutan kejadian itu, Mohd Asri terlantar koma selama 45 hari, sebelum kembali sedar dan dibenarkan pulang ke rumah dua minggu lalu," katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Mansor Jusoh, hari ini.

Sementara itu, Mansor berkata pihaknya bersimpati dengan nasib menimpa bayi serta keluarga terbabit apatah lagi dengan keadaan Noor Amali sebagai ibu tunggal.

"Kita sedang berusaha mendapatkan bantuan sebanyak RM20,000 daripada Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas untuk tujuan rawatan Mohd Asri.

"Selain itu, kita akan teruskan dengan bantuan semasa yang diberikan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM410 sebulan," katanya.

0 comments: