Followers

Tuesday, June 22, 2010

Perbelanjaan kerajaan ikut kemampuan dan keperluan: Muhyiddin

PUTRAJAYA: Perbelanjaan kerajaan untuk pembangunan sesuatu projek perlu dilihat daripada segi makro iaitu secara keseluruhan dan bukan secara satu persatu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, setiap perbelanjaan itu adalah mengikut kemampuan, berdasarkan asas dan pertimbangan yang rasional, serta berdasarkan keperluan.
Katanya, setiap jabatan dan agensi yang bertanggungjawab juga harus mematuhi strategi yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang dijadikan panduan sebelum membuat sebarang perbelanjaan.
"Jadi, jika apa-apa perkara timbul, bila orang kata nak buat bangunan Parlimen baru, itu pandangan pihak tertentu, tetapi kita tak buat keputusan.

"Rakyat jangan tersalah faham hanya kerana ada pihak mengeluarkan pandangan, itu (dianggap) sudah jadi keputusan. Kerajaan sedar kita harus mengambil langkah yang wajar. Tunggu keputusan yang muktamad," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Perkhidmatan Pendidikan 2010 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pandangan pihak tertentu mengenai perbelanjaan yang dianggap membazir termasuk membina bangunan baru Parlimen di Putrajaya yang berkemungkinan menelan belanja sehingga RM800 juta.

Muhyiddin berkata, belum ada keputusan muktamad berhubung cadangan untuk membina bangunan Parlimen yang baru tetapi ada pihak yang sudah "memutarkan" cerita sehingga timbul tanggapan rakyat yang tidak tepat.
"Kita mahu supaya itu dielakkan, jadi bila sampai masa, kerajaan akan buat keputusan yang sesuai," katanya. - BERNAMA

0 comments: