Followers

Tuesday, June 22, 2010

Hasil kajian angkasawan dipapar di laman web MOSTI, ANGKASA

KUALA LUMPUR: Kajian saintifik mengenai sains mikrograviti yang dilaksanakan dalam Program Angkasawan Negara Pertama akan dipaparkan pada laman web Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) bagi membolehkan orang ramai mengetahui hasilnya.
Sebelum ini, hasil kajian itu hanya dibentangkan kepada saintis tempatan dan antarabangsa pada Bengkel Sains Mikrograviti anjuran Angkasa di Universiti Malaysia Sabah tahun lalu dan di Putrajaya pada 2008.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili, berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Idris berkata, sehingga kini, hasil kajian itu tidak dapat dilihat di mana-mana laman web sehingga menimbulkan tanda tanya orang awam.

Ongkili berkata, bahawa pada dasarnya, kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan Program Angkasawan Negara.

"Penghantaran angkasawan negara ke misi angkasa lepas, sama ada angkasawan kedua mahupun misi lain pada masa akan datang, akan ditentukan keperluannya oleh kerajaan dari semasa ke semasa," katanya.

Untuk memastikan kesinambungan program itu, beliau berkata aktiviti berkaitan program kesedaran awam seperti ceramah oleh angkasawan negara di sekolah dan universiti selain penerbitan buku dan sambutan minggu angkasawan diteruskan.
"Pada masa sama, penyelidikan bidang mikrograviti akan terus dipergiatkan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan pembangunan keupayaan negara dalam bidang sains dan teknologi, khususnya berkaitan sains angkasa, akan berkesan," katanya. - BERNAMA

0 comments: