Followers

Tuesday, June 22, 2010

Pemansuhan UPSR, PMR tidak jejas kemasukan pelajar MRSM

BANGI: Pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), jika dilaksanakan, tidak akan menjejaskan kemasukan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ini kerana pengambilan pelajar tingkatan empat ke MRSM sebelum ini membabitkan ujian khas manakala pengambilan bagi pelajar tingkatan satu juga akan menggunakan kaedah sama mulai tahun depan.
"(Ujian khas) ini akan terus digunapakai," katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas cadangan kerajaan untuk memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin berkata dua peperiksaan itu mungkin dimansuhkan kerana pembelajaran ketika ini lebih berorientasikan peperiksaan sehingga tujuan utama memberi pendidikan holistik tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

MRSM mengambil kira-kira 9,000 pelajar baru setiap tahun.

Terdahulu, Shafie melancarkan penjenamaan semula Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di Kampus KPTM Bandar Baru Bangi di sini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Joseph Entulu Belaun, dan Pengerusi KPTM, Datuk Sohaimi Shahadan.

Mengulas mengenai penjenamaan semula KPTM yang juga institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Shafie berkata ia selaras dengan usaha kerajaan untuk melahirkan modal insan berkualiti di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).
Selain memperkenalkan logo baru, penjenamaan KPTM antara lain merangkumi pengenalan kursus baru yang mengikut kehendak pasaran selain memfokuskan kepada subjek keusahawanan. - BERNAMA

0 comments: