Followers

Monday, November 22, 2010

Malaysia boleh jadi jambatan hubungan Komanwel-Asia: PM

KUALA LUMPUR: Malaysia berharap dapat bertindak sebagai jambatan kepada hubungan ekonomi yang lebih kukuh antara Komanwel dan Asia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai kelebihan hubungan pelbagai budaya dengan Asia dan jalinan teguh dengan negara anggota Komanwel. "Kita seharusnya meningkatkan pembabitan kita dengan organisasi di Asia. Marilah bermula dengan membabitkan ASEAN. Kita manfaatkan hubungan ini untuk meneroka kemungkinan bagi kerjasama ekonomi antara kedua-dua organisasi ini," kata beliau dalam ucaptamanya pada Forum Ketua-ketua Perniagaan Global 2010 di sini.

Najib berkata, ASEAN dengan hubungan pelaburan dan perdagangan yang penting dengan bahagian lain Asia dan usahanya sendiri dalam integrasi ekonomi serantau, membawa bersama kedudukan nilai yang ketara yang faedahnya boleh diraih anggota Komanwel.

Katanya, sebagai sebuah kumpulan, Komanwel perlu menerima ekonomi yang lain beralih kepada usaha menggalakkan pasaran baru muncul.

"Harapan saya ialah forum ini akan menyediakan benih untuk perniagaan dalam kumpulan untuk membawa hubungan mereka ke paras yang mengeratkan kerjasama antara sektor swasta Komanwel dan Asia," katanya.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, negara anggota Komanwel boleh menyumbang lebih ketara kepada perdagangan dan pelaburan serta menyeru Majlis Perniagaan Komanwel melaksanakan susulan yang sewajarnya terhadap idea yang dijana semasa forum untuk negara anggota.

Komanwel, persatuan 54 negara anggota yang pernah dijajah oleh pihak British di seluruh dunia, mempunyai jumlah penduduk sebanyak dua bilion dengan gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS$7.5 trilion atau 13 peratus jumlah KDNK dunia.

Najib berkata, sejak 10 tahun lalu, dagangan intra Komanwel meningkat daripada AS$2 trilion kepada AS$3 trilion, menguasai 22 peratus jumlah dagangan dunia, manakala aliran pelaburan berkembang daripada AS$80 bilion kepada AS$180 bilion.

Beliau berkata, terdapat potensi bagi dagangan intra Komanwel berkembang kepada AS$5 trilion dan pelaburan mencecah AS$250 bilion pada dekad akan datang.

"Dengan perkumpulan memasuki ulang tahun ke-80, terdapat keperluan untuk memanfaatkan kekuatan dalam komuniti yang dinamik ini bagi memperkasakan kedudukan masing-masing serta mengambil langkah untuk memperluaskan ekonomi kolektif mereka.

"Kita perlu melakukan sebagaimana nama kita, iaitu mewujudkan dan melebarkan kekayaan pada platform yang sama bagi meningkatkan perdagangan dan pelaburan dalam semangat memakmurkan jiran," katanya.

Najib berkata, antara sumbangan negara anggota Komanwel boleh lakukan ke arah perkembangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta kepada dagangan dalam rantau ini ialah dengan memanfaatkan aset negara-negara ini secara individu.

"Mereka juga boleh berkongsi amalan terbaik dalam tadbir urus dan menyediakan persekitaran yang baik untuk perniagaan berkembang," katany6a.

Perdana Menteri berkata, dengan 25 peratus dagangan Malaysia adalah dengan ASEAN, dagangannya dengan Komanwel menyumbang 22 peratus jumlah perdagangan global mereka.

Tahun lalu, perdagangan Malaysia dengan negara Komanwel berjumlah AS$63.4 bilion dan dari segi pelaburan sehingga Julai tahun ini, sebanyak 1,901 projek membabitkan penyertaan negara Komanwel diluluskan dalam sektor pembuatan di Malaysia dengan AS$15.2 bilion dalam jumlah pelaburan. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget