Followers

Monday, November 22, 2010

Angkasa nafi dakwaan penyelewengan RM6.4 juta

PETALING JAYA: Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum, hari ini menafikan dakwaan kononnya berlaku penyelewengan wang sebanyak RM6.4 juta oleh lapan anggota Jawatankuasa Kerja Tertinggi Angkasa.
Beliau menyifatkan dakwaan oleh Pengerusi Rangkaian Sahabat Dungun (Kerabat), Datuk Seri Noor Zainan Zainul, itu sebagai tidak berasas dan dilakukan tanpa usul periksa serta bertujuan mencemar nama baik Angkasa.
"Kenyataan yang dibuat ini mempunyai motif jahat, tohmahan palsu tanpa usul periksa dan merosakkan imej orang tertentu demi mereka yang berkepentingan," katanya kepada pemberita di Wisma Ungku Aziz di sini.
Menurut laporan media, Noor Zainan dan Pengerusi Koperasi Ukhwah Mustapa Kamal Maulut telah membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan itu.

Mohd Ali berkata, antara 27 pertuduhan yang dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan pada 17 November lalu ialah kononnya Jawatankuasa Kerja Tertinggi Angkasa menggunakan wang atau elaun tanpa mendapat kelulusan mesyuarat agung tahunan dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

"Mustahil kita akan mendapat wang atau elaun tanpa kelulusan SKM dan mesyuarat, dan semua bukti yang melibatkan pengeluaran masuk wang disimpan sebaiknya sekiranya kes seumpama ini berlaku," katanya.

Mohd Ali berkata, dakwaan lain yang telah dibuat adalah mengenai elaun tahunan tetap sebanyak RM300,000 pada setiap anggota jawatankuasa itu selain menambah peruntukan sebanyak RM500,000 bagi persidangan kebangsaan tahunan yang sepatutnya hanya RM1.5 juta.
Beliau menjelaskan bahawa setiap elaun yang diterima oleh anggota jawatankuasa itu adalah mengikut kerja dan peranan yang dimainkan dalam Angkasa.

"Tidak ada elaun tetap seperti yang didakwa," katanya.

Mohd Ali berkata, peruntukan sebanyak RM2 juta yang digunakan pada persidangan itu telah mendapat kelulusan SKM dan tidak wajar perkara itu dipersoalkan.

Ditanya mengenai tindakan yang dikenakan kepada Noor Zainan dan Mustapa, beliau berkata mereka telah dilucutkan hak untuk menyertai mana-mana persidangan kebangsaan, negeri atau mesyuarat Angkasa masing-masing selama tempoh tiga dan lima tahun bermula dari 25 Ogos. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget