Followers

Monday, November 22, 2010

Ekonomi negara berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga tahun ini, dipacu permintaan domestik yang lebih tinggi di tengah-tengah permintaan luar negara yang semakin lembap disebabkan oleh kelemahan ekonomi global.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 10.1 peratus pada suku pertama dan 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata pertumbuhan pada suku ketiga itu dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi sekali gus mendorong permintaan domestik untuk berkembang sebanyak lima peratus.
Beliau berkata, semua sektor ekonomi mencatatkan pertumbuhan positif dalam suku ketiga tahun ini kecuali perlombongan, namun pada kadar yang lebih sederhana.

“Di sebalik kelemahan permintaan luar negara itu dan jangkaan pertumbuhan lebih sederhana pada suku keempat, kita masih mampu mencatatkan pertumbuhan antara enam dan tujuh peratus seperti yang diunjurkan sebelum ini.

"KDNK perlu berkembang 3.7 peratus pada suku keempat untuk capai sasaran tujuh peratus,” katanya pada sidang media mengenai prestasi ekonomi bagi suku ketiga 2010 di sini, hari ini.

0 comments:

There was an error in this gadget