Followers

Sunday, October 3, 2010

Dr Mahathir semakin sihat

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad memberi respons baik terhadap rawatan yang beliau terima di Hospital Epworth Melbourne, Australia, setelah dimasukkan ke hospital itu kerana mengadu sakit dada semalam.
"Doktor gembira dengan perkembangan kesihatan Dr Mahathir dan beliau memberi respons baik kepada rawatan antibiotik serta fisioterafi," menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat bekas perdana menteri itu di sini hari ini.
Pagi tadi, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, melawat bapanya di hospital itu dan menikmati sarapan pagi bersama-sama bapa dan ibunya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Menurut kenyataan itu, doktor menasihati Dr Mahathir supaya terus berehat dan memaklumkan bahawa bekas Perdana Menteri itu perlu diletakkan di bawah pengawasan di wad biasa hospital berkenaan selama beberapa hari lagi.

"Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah juga menyampaikan salam dan penghargaan mereka kepada semua yang mengutuskan ucap selamat dan mendoakan agar beliau lekas sembuh," kata kenyataan itu.

Dr Mahathir yang ditemani Dr Siti Hasmah, tiba di sini Khamis lalu dan dijadualkan berucap pada seminar pembangunan insan anjuran Kelab UMNO Australia Melbourne di University of Melbourne semalam.

Dr Mahathir meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang singgah di Melbourne setelah menghadiri Persidangan Forbes Global CEO di Sydney, berucap bagi pihak beliau pada seminar itu. - BERNAMA

0 comments: