Followers

Saturday, June 12, 2010

Malaysia perlu kaedah penyelarasan, pelaksanaan yang cekap: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia memerlukan sistem penyelarasan dan pelaksanaan yang cekap dan sesuai bagi memastikan negara mampu bersaing di persada global.
Bagi menepati matlamat itu, Perdana Menteri berkata semua rakyat Malaysia perlu bersatupadu dan bekerjasama dengan mengamalkan konsep Gagasan 1Malaysia di mana rakyat diberi keutamaan dalam sebarang program kerajaan.
"Apabila saya mengambil alih sebagai Perdana Menteri April tahun lepas, saya memutuskan untuk membina sebuah Malaysia Baru atas semangat 1Malaysia di mana harus wujud perpaduan dan sebahagian dari keluarga yang besar dan menggabungkan faktor cemerlang yang ada pada setiap komuniti.
"Ini akan membolehkan setiap warga tanpa mengira latar belakang etnik untuk merealisasi potensi maksimum masing-masing sebagai rakyat Malaysia," katanya semasa melancarkan pusat pendidikan Seri Murugan (SMC) di Sekolah Menengah Vivekananda, Brickefields, di sini, hari ini.

Najib berkata terdapat keperluan prinsip bimbingan 1Malaysia bagi membentuk Malaysia Baru.

"Sebab itu kita mengambil peluang ini...transformasi, satu perjalanan ke arah transformasi negara menjadikan Malaysia Baru yang kukuh, lebih makmur - Malaysia Baru yang bukan sahaja tertakluk kepada sempadan intelektual fizikal tetapi satu yang boleh menemuhi cabaran global.

"Kita tidak perlu takut dan sebaliknya memiliki semangat keyakinan yang jitu untuk menjadi sebuah negara hebat. Ini boleh dilaksanakan jika kita bersatupadu," katanya.
Najib juga menegaskan bahawa kerajaan akan terus menambah peruntukan untuk semua komunuiti.

"Saya komited untuk membantu semua rakyat Malaysia kerana ini adalah keluarga kita. Negara ini...Malaysia boleh jadi hebat," katanya.

Najib juga meminta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin supaya memastikan projek pembangunan ''Little India'' di Brickfields disiapkan mengikut jadual pada November ini.

"Saya mempunyai hubungan akrab dengan Perdana Menteri India Manmohan Singh dan dia bercadang melawat Malaysia November ini untuk melancarkan bersama ''Little India''.

"Jadi menteri (Raja Nong Chik) telah berjanji kepada saya bahawa ''Little India'' akan siap November ini. Sekira tidak siap, kita akan minta mereka memberi penjelasan," katanya.

Pada majlis pelancaran SMC, Perdana Menteri menyampaikan Geran Akademik 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada 50 pelajar SMC melanjutkan pengajian mereka di universiti tempatan.

Setiap pelajar berkenaan, yang memperoleh keputusan cemerlang pada perperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), menerima geran RM15,000 untuk membantu persediaan mereka dalam melanjutkan pengajian tinggi. - BERNAMA

0 comments: