Followers

Saturday, May 22, 2010

Sektor swasta jadi pemacu utama ekonomi: Najib

JOHOR BAHRU: Kerajaan mahu melihat sektor swasta mengambil alih peranan yang dimainkan oleh sektor awam sebagai pemacu utama ekonomi negara selaras dengan Model Baru Ekonomi (MBE), kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, peranan sektor swasta akan menjadi lebih penting dalam MBE, malah ia boleh diibaratkan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara.
"Kerajaan hanya akan bertindak sebagai 'enabler', menerusi pelaksanaan pelbagai galakan serta insentif bagi membolehkan sektor swasta menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara," katanya ketika merasmikan bangunan Aero Mall dan Bandar Lapangan Terbang Senai di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, Ahli Exco serta pegawai kanan kerajaan negeri.

Najib berkata, sejak berlakunya krisis kewangan Asia pada 1997, peranan sektor swasta dalam mendorong ekonomi telah semakin susut dan ia telah diambil alih oleh sektor kerajaan.

Beliau berkata, pembangunan bersepadu di Lapangan Terbang Senai membabitkan sektor swasta dalam industri aeroangkasa, logistik dan kargo serta Taman Teknologi Tinggi Senai (SHTP) adalah selaras dengan kehendak kerajaan dalam MBE.

Kerajaan, katanya, sebagai "enabler" menerusi pemberian galakan dan insentif, telah memberi geran sebanyak RM150 juta untuk membangunkan industri kargo di Lapangan Terbang Senai serta geran RM300 juta untuk pembangunan SHTP.
"Menerusi pelbagai galakan dan insentif oleh kerajaan, Lapangan Terbang Senai dijangka menerima lebih banyak pelaburan dari dalam dan luar negara dalam tempoh terdekat," katanya.

Perdana Menteri berkata, kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini dengan menjadi "enabler" terhadap kemasukan lebih banyak pelaburan ke negara ini adalah cara yang tepat.

Namun begitu, katanya, banyak pihak salah anggap terhadap kaedah PFI dengan ramai yang menganggapnya suatu bentuk "bayaran tertangguh" di mana pihak swasta membina kemudahan infrastruktur terlebih dulu dan kerajaan membayarnya kemudian.

Jika kaedah PFI yang salah itu dilaksanakan, katanya, kerajaan akan terdedah kepada bahaya sebagaimana yang sedang dihadapi oleh Greece dan beberapa negara Eropah lain dalam krisis hutangnya.

Beliau berkata, pelaksanaan dasar MEB oleh kerajaan sudah menampakkan hasil awal dengan pertumbuhan ekonomi negara pada suku pertama tahun ini melonjak kepada 10.1 peratus.

"Ia juga telah berjaya meningkatkan daya saing negara daripada kedudukan ke-18 kepada kedudukan ke-10, sebagaimana yang dinyatakan oleh IMD World Competitiveness Yearbook 2010," katanya.

Najib berkata, daya saing negara kini lebih baik berbanding negara lain seperti United Kingdom.

Mengenai Lapangan Terbang Senai, Perdana Menteri berkata beliau difahamkan pengendali lapangan terbang itu, Senai Airport Terminal Service Sdn Bhd (SATS) sehingga kini telah membelanjakan RM350 juta untuk membangunkannya. - Bernama

0 comments: