Followers

Saturday, May 22, 2010

Kampus ketiga UiTM Perak akan dibina di Bagan Datoh

BAGAN DATOH: Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan membuka kampus cawangannya yang ketiga di Perak, iaitu di Bagan Datoh, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, projek bernilai RM250 juta di atas kawasan seluas 40 hektar itu dijangka siap pada 2013 dan bakal menempatkan kira-kira 5,000 pelajar.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program khidmat masyarakat dan kem pendidikan anjuran Universiti Teknologi Malaysia di sini hari ini, beliau berkata UiTM Perak kini mempunyai kampus di Seri Iskandar manakala kampus kedua di Tapah kini dalam pembinaan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, selain kampus UiTM, dua sekolah iaitu Maktab Rendah Sains Mara dan Sekolah Menengah Teknik, akan dibina di Bagan Datoh dalam masa terdekat.

Katanya, pembinaan MRSM itu membabitkan kos RM70 juta di atas kawasan seluas 20 hektar dan bakal menempatkan 1,500 pelajar, manakala Sekolah Menengah Teknik di kawasan seluas lapan hektar dengan kos RM30 juta bakal menempatkan 1,000 pelajar.

Beliau berkata, tiga pusat pengajian itu kelak akan menjadi mercu tanda utama kepada Bagan Datoh sebagai sebuah kawasan gedung ilmu tersohor di Perak. - Bernama

0 comments: