Followers

Saturday, May 22, 2010

H1N1: Lelaki 48 tahun korban ke-86

KUALA LUMPUR: Satu lagi kematian dilaporkan akibat jangkitan virus influenza A(H1N1) menjadikan jumlah terkumpul kematian akibat H1N1 dalam negara sehingga hari ini ialah 86 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata lelaki berumur 48 tahun tanpa sebarang faktor risiko itu mengalami gejala demam selama tiga hari dan batuk selama seminggu sebelum dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 6 Mei lepas.
"Lelaki itu mengalami masalah pernafasan akibat pneumonia yang teruk semasa rawatan dan meninggal dunia pada 9 Mei lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, sembilan kejadian kluster Penyakit Serupa Influenza (ILI) dilaporkan di tujuh negeri iaitu di Perak, Pahang, Melaka, Pulau Pinang, Johor, Sarawak dan Selangor.

Dr Mohd Ismail berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes ILI yang masih dirawat di dalam wad di seluruh negara 577 kes dan daripada jumlah itu 76 kes disahkan positif H1N1.

Katanya, pada masa bilangan pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak lapan kes dengan semuanya mempunyai faktor risiko.

Beliau berkata, penularan jangkitan virus H1N1 masih aktif di dalam komuniti, dan beliau menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta mengamalkan langkah pencegahan dan kawalan.
Maklumat lanjut mengenai H1N1 boleh didapati menerusi laman web kementerian di alamat www.moh.gov.my atauh1n1.moh.gov.my atau hubungi talian hotline kementerian 03-88810200 atau 03-88810300. - Bernama

0 comments: