Followers

Saturday, May 22, 2010

Kerajaan teruskan pelbagai pembangunan kesejahteraan rakyat: PM

JOHOR BAHRU: Kerajaan akan meneruskan pelbagai pembangunan kesejahteraan rakyat yang mencakupi pelbagai golongan terutama yang berpendapatan rendah, kata Datuk Seri Najib Razak.
Berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di penempatan semula perkampungan Melayu Iskandar Malaysia, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang, di sini Perdana Menteri berkata setiap pembangunan berkenaan perlu inklusif sejajar dengan matlamat Model Baru Ekonomi (MBE).
"Apa yang kita boleh tolong, kita akan tolong. Yang pentingnya adalah kesejahteraan. Kita tidak mahu rakyat berpendapatan rendah teraniaya. Kita bagi pinjaman mikro kredit, biasiswa, pinjaman pendidikan dan sebagainya supaya rakyat terbela," katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Najib berkata, projek perumahan yang disediakan kerajaan juga bukan hanya memberi keselesaan malah perlu diselenggara dengan baik supaya kehidupan rakyat lebih berkualiti.

Beliau berkata, bukan hanya tanggungjawab kerajaan, penduduk PPR pula harus menjaga kemudahan yang disediakan dengan tidak menjadikan kawasan penempatan baru sebagai kawasan setinggan moden.

Perdana Menteri berkata, semua penduduk perlu memikirkan kesejahteraan hidup masing-masing terutama tidak menyalahgunakan kemudahan lif yang disediakan.
"Saya tak mahu lif yang disediakan disalah guna dengan memasukkan sampah di laluannya. Kalau lif rosak, saya tak dapat bayangkan macam mana warga emas naik sehingga ke tingkat 10. Ini semua menyukarkan semua pihak," katanya.

Sementara itu, Abdul Ghani, dalam ucapannya, berkata lebih 13,000 rumah mampu milik membabitkan 28 kampung di kawasan Iskandar Malaysia, sedang dan siap dibina, sejak tujuh tahun lalu.

Beliau berkata, pemilikan rumah mampu milik itu mampu menjayakan matlamat setinggan sifar di negeri ini. - Bernama

0 comments: