Followers

Saturday, May 22, 2010

Juara Rakyat platform dekati, terima maklum balas rakyat: TPM

KUALA LUMPUR: Program Juara Rakyat anjuran Barisan Nasional (BN) menjadi antara platform penting kepada kerajaan untuk mendekati dan mendapat maklum balas masyarakat, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Program Juara Rakyat ialah untuk kita mendekati rakyat, kita nak tahu apakah aspirasi mereka, apakah perkara yang mereka mahu kita beri perhatian dan tumpuan dan bila kita sama-sama dapat bermesra ini, kita dapat tahulah apakah perasaan mereka.
"Walaupun pada umumnya mungkin situasi adalah baik tapi bila kita duduk semeja bercakap dan bertanya, saya dapat faham ada perkara tertentu yang perlukan perhatian daripada pimpinan tempatan dan juga pihak kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Hari Keluarga Parlimen Setiawangsa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Bonus di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, segala maklum balas yang diterima daripada masyarakat akan dikumpul bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

"Pastinya di Wilayah Persekutuan ini ialah kawasan ibu kota tetapi masalah isu bandar itu masih isu utama, baik soal tempat kediaman, kebersihan, peluang pekerjaan, pelesenan, soal berkaitan dengan kebajikan dan rakyat miskin bandar," katanya.

Program Hari Keluarga itu diadakan bersempena Program Juara Rakyat peringkat Wilayah Persekutuan yang sebelum itu dilancarkan Muhyiddin di PPR Perkasa di sini.

Ketibaan beliau dalam keadaan hujan disambut kira-kira 300 penduduk PPR Sungai Bonus yang tidak mahu melepaskan peluang untuk bersalaman dengan Timbalan Perdana Menteri.
Sempena program Juara Rakyat itu, Muhyiddin juga akan berkunjung ke PPR Seri Melaka, Cheras bagi menghadiri majlis perkahwinan selain menyertai penduduk setempat bagi acara minum petang. - Bernama

0 comments: