Followers

Thursday, April 8, 2010

Sabah & Sarawak: Anjing liar mengganas

ANJING  berkeliaran di sekitar premis perniagaan di Bandar Labuk 
Jaya, Sandakan mengganggu keselesaan penduduk.
ANJING berkeliaran di sekitar premis perniagaan di Bandar Labuk Jaya, Sandakan mengganggu keselesaan penduduk.
Haiwan berkeliaran semakin agresif ganggu penduduk Bandar Labuk Jaya

SANDAKAN: Sejak sebulan lalu, persekitaran masjid dan kedai makan sekitar Bandar Labuk Jaya di sini, kerap menjadi tumpuan anjing liar menyelongkar tong sampah bagi mencari sisa makanan.

Keadaan itu jelas merimaskan lebih 20 pemilik premis perniagaan dan orang ramai yang kerap berulang ke masjid bagi menunaikan solat jemaah kerana berasa tidak selesa termasuk memikirkan kemungkinan digigit haiwan itu.

Mereka berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah terbabit, termasuk menangkap kumpulan anjing itu supaya tidak lagi mengganggu ketenteraman awam.

Selain tong sampah bertaburan diselongkar, penduduk mendakwa ternakan seperti kambing dan kucing turut digigit sehingga mati oleh kumpulan anjing berkenaan.

Seorang kakitangan masjid berhampiran, Mohd Riduan Ibrahim, 20, berkata keadaan itu sudah lama berlaku tetapi kumpulan anjing liar itu semakin agresif dan menjadi-jadi sejak sebulan lalu.

“Kalau tidak silap, lebih lima ekor kambing yang diternak di sekitar masjid menjadi mangsa anjing liar yang dikesan mengambil peluang menyerang ternakan berkenaan ketika dilepaskan ke padang berhampiran.
“Saya pernah nampak sekumpulan anjing dalam lapan hingga 10 ekor menyerang kambing yang diternak jawatankuasa masjid.

“Pihak masjid memelihara kambing sejak lima tahun lalu untuk disedekah kepada umat Islam, terutama pada musim perayaan.

“Selepas kejadian itu, pihak pengurusan masjid mengambil keputusan memagari kawasan keliling tetapi langkah itu juga kurang berkesan kerana ada anjing liar yang lolos memasuki pagar dan merayau, malah ada yang sampai ke kawasan rumah pengurusan masjid,” katanya kepada Berita Harian.

Bandar Labuk Jaya terletak kira-kira 11 kilometer (km) dari pusat bandar dan menempatkan lebih 10 bangunan merangkumi 15 lot premis perniagaan seperti restoran dan pejabat.

Tinjauan Berita Harian ke kawasan itu mendapati, kebanyakan ternakan dikurung seharian dalam kandang oleh pemilik bagi mengelak daripada menjadi mangsa anjing liar.

Selain membongkar tong sampah, anjing berkenaan turut mengotori persekitaran kerana mengheret sampah ke merata tempat dan keadaan menjijikkan itu boleh mengundang cemuhan di kalangan pengunjung, terutama pelancong.

Seorang penduduk, Mohd Samit Mukhsin, 30, berkata kumpulan anjing berkenaan kerap dilihat merayau di sekitar kawasan perumahan pada waktu siang dan ada kalanya menakutkan kanak-kanak yang menunggu bas untuk ke sekolah.

“Pada sebelah malam pula mereka berada di sekitar reban ternakan. Macam-macam sudah kami lakukan, termasuk berjaga malam untuk menghalau anjing tetapi tidak berkesan.

“Ibu bapa juga cuak melepaskan anak keluar bermain di sebelah petang kerana bimbangkan keselamatan mereka. Anjing liar dan kotor mesti membawa pelbagai penyakit,” katanya.

Beliau mengakui ancaman anjing liar itu turut menjejaskan perniagaan terutama restoran dan berharap MPS segera mencari jalan penyelesaian terbaik sebelum keadaan menjadi lebih teruk.

Katanya, kejadian pekerja restoran dikejar anjing ketika cuba menghalau haiwan itu daripada menyelongkar tong sampah kerap berlaku dan bimbang ia berlarutan hingga membawa kecederaan jika tidak ditangani segera.

0 comments: