Followers

Thursday, April 8, 2010

Petronas cadang senarai dua unit di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan bahawa ia sedang membuat persiapan untuk menyenaraikan dua entiti di Bursa Malaysia tahun ini.

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam ucaptamanya pada Invest Malaysia 2010 30 Mac lalu, bahawa Petronas telah mengenal pasti dua penyenaraian bagi tahun ini.



Entiti pertama terbabit dalam perniagaan petrokimia manakala yang kedua adalah cabang kejuruteraan beratnya, Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE) yang terletak di bawah MISC Bhd sebagai anak syarikat milik penuhnya.


Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif dan Pemangku Pengerusi Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas, berkata syarikat itu berharap penyenaraian tersebut akan memperkukuh lagi Bursa Malaysia.

"Seperti unit-unit tersenarai kami yang lain, penyenaraian baru ini akan membolehkan orang ramai mengambil bahagian secara langsung dalam beberapa perniagaan kami - dalam kes ini, petrokimia dan kejuruteraan berat," katanya.

Syarikat Petronas yang disenaraikan di Bursa Malaysia ialah Petronas Dagangan Bhd, Petronas Gas Bhd, KLCC Property Holdings Bhd dan MISC Bhd.

MMHE mencatatkan pendapatan sebanyak lebih RM4 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2009. Prestasinya dipacu oleh tiga perniagaan teras iaitu perkhidmatan pembinaan dan kejuruteraan serta penukaran fungsi dan baik pulih kenderaan marin.

Ia berkembang menjadi sebuah kontraktor bersepadu kejuruteraan, pemerolehandan pembinaan serta pakar baik pulih kapal tangki gas asli cecair.

MMHE mengendalikan sebuah limbungan di Pasir Gudang, Johor, yang juga antara yang terbesar di rantau ini, serta satu-satunya yang berupaya melakukan penukaran fungsi penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung dan pemunggahan penyimpanan terapung serta pembuatan struktur tinggi minyak dan gas di luar pantai di Malaysia.

Perniagaan petrokimia mencatatkan pendapatan sebanyak RM13 bilion bagi tahun berakhir 31 Mac, 2009.

Portfolio produknya yang pelbagai, termasuklah olefin dan poliolifin, baja, kimia industri dan kimia khusus.

Perniagaan itu bermula dengan kapasiti 600,000 tan metrik setahun dan sejak itu berkembang kepada lebih 10 juta tan metrik pengeluaran petrokimia dengan penguasaan pasaran serantau yang besar.

Permulaan operasi komersial loji metanol mega di Labuan pada Mei 2009,dengan kapasiti berskala dunia 1.7 juta tan metrik setahun, memperkukuh lagi kedudukannya sebagai pengeluar metanol terbesar di Asia Pasifik dan keempat terbesar di dunia. - Bernama

0 comments: