Followers

Thursday, April 8, 2010

Gempa di Aceh, negara jiran terasa

SEORANG wanita menenangkan anaknya yang baru lahir selepas mereka 
dipindah ke tempat letak kereta hospital Sinabang akibat gempa, 
semalam.
SEORANG wanita menenangkan anaknya yang baru lahir selepas mereka dipindah ke tempat letak kereta hospital Sinabang akibat gempa, semalam.
22 cedera, bangunan termasuk masjid rosak gegaran 7.7 skala Richter

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 22 orang cedera dan lebih 200 bangunan serta masjid mengalami kerosakan selepas gempa bumi 7.7 skala Richter semalam menggegarkan wilayah Aceh dan turut dirasai di Thailand dan Malaysia.

Gempa itu melanda pada 5.15 pagi waktu tempatan berpusat kira-kira 75 kilometer ke tenggara di Sinabang pada kedalaman 34 kilometer di bawah dasar laut menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan sebelum dibatalkan beberapa jam kemudian.

Seramai 17 yang cedera adalah penduduk pulau Simeuleu, kawasan terdekat dengan pusat gempa. Mereka parah dan sedang dirawat dengan kebanyakan mangsa lain luka terkena objek jatuh termasuk batu bata.

Sebanyak tiga gegaran susulan lebih kecil kekuatannya melanda selepas itu.
Pegawai Indonesia berkata, tsunami setinggi 40 sentimeter dikesan di beberapa tempat termasuk Pulau Banyak yang menyaksikan beberapa kediaman ditenggelami air.

Ada juga laporan kerosakan bangunan kerajaan dan rumah serta sejumlah tiang elektrik tumbang.
Gabenor Aceh, Irwandi Yusuf memberitahu Metro TV bahawa tiada kematian dilaporkan berlaku dan ini disahkan jurucakap Agensi Pengurusan Bencana (BNPB) Priyadi Kardono.

“Laporan dari Kementerian Kesihatan berkata tiada kematian, hanya kecederaan kecil,” kata Priyadi, sambil menambah bahawa BNPB menghantar pasukan kecemasan ke kawasan terjejas gempa.

Gempa kuat dirasai di seluruh Sumatera Utara, termasuk ibu kota wilayah Medan di bahagian bertentangan kepulauan itu serta Sumatera Barat dan sejauh Malaysia.
Di Hospital Pringadi Medan, kakitangan perubatan dan malah pesakit melarikan diri dari hospital selepas merasai gegaran yang digambarkan mereka agak kuat.
Sesetengah jururawat cuba menenangkan pesakit, sementara yang lain cuba menyelamatkan bekalan ubatan.

“Kami perlu membawa bekalan ubatan keluar untuk pesakit kerana kami tidak tahu apa yang berlaku,” kata seorang jururawat kepada Metro TV.

Suasana panik juga dirasai tetamu Hotel Asean International di Medan. Mereka berkejar keluar dari bangunan dan menunggu di jalan raya. Selepas sejam mereka kembali ke hotel namun ada terus menunggu di lobi.

Seorang pakar gempa dari Universiti Andalas, Padang, Sumatera Barat, menjelaskan gempa terbaru dipercayai berpunca daripada keretakan plat sekitar Kepulauan Mentawai, di barat Sumatera.

“Gempa kali ini adalah jenis baru. Kejadian ini menunjukkan gempa bumi tidak dapat diramalkan,” kata Badrul Kamal yang dipetik agensi berita Antara.

Badrul berkata, kebanyakan pakar berpendapat Sumatera akan bebas daripada dilanda gempa selepas gegaran 8.7 skala Richter melanda Nias pada 2005 dan 9.2 skala Richter melanda Aceh, tahun sebelumnya.

“Kita belum lagi selamat daripada ancaman gempa. Kemungkinan tetap wujud bencana akan melanda Sumatera Barat meskipun ia kecil,” katanya lagi. – Agensi

0 comments: