Followers

Friday, April 9, 2010

Najib dijadual bertemu Obama di sidang kemuncak nuklear

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan melakukan lawatan kerja ke Washington DC dan New York, Amerika Syarikat pada 10 hingga 16 April.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri hari ini, Perdana Menteri dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear yang diadakan pada 12-13 April di ibu negara Amerika atas jemputan Presiden Barack Obama.

Semasa di Washington DC, Najib dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Obama di luar sidang kemuncak bagi membincangkan isu hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa.

"Penyertaan Perdana Menteri dalam Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear akan memberikan peluang kepada Malaysia untuk bertukar-tukar pandangan dengan negara lain termasuk Amerika mengenai isu-isu keselamatan serta menjadi satu platform untuk Malaysia mengemukakan pendiriannya mengenai isu nuklear," menurut kenyataan itu.

Najib akan diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Penerangan
Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah; dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Tan Sri Rastam Mohd Isa.

Delegasi Malaysia dianggotai pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri,
Kementerian Luar Negeri, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pertahanan dan
agensi berkaitan serta tokoh perniagaan dan wakil media.

Menurut kenyataan itu, semasa lawatan berkenaan Najib dijangka mengadakan
pertemuan dengan pegawai kanan Kerajaan Amerika, Ahli Kongres dan tokoh perniagaan Amerika.

Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama di Pusat Strategik dan Kajian Antarabangsa (CSIS) serta Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan di Dewan Perniagaan Amerika di Washington DC serta menyampaikan ucapan pada jamuan tengah
hari di Asia Society di New York.

Najib juga akan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman
antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Stevens Institute of Technology
(SIT) serta perjanjian antara Microsoft dan Hitech Padu.

Perdana Menteri turut dijadual melancarkan "Faces of Malaysia Showcase,"
satu program khas yang diadakan bertujuan mempromosikan Malaysia kepada khalayak
Amerika serta mengukuhkan jalinan antara rakyat kepada rakyat kedua-dua negara.

Faces of Malaysia Showcase akan diadakan mulai 10 hingga 11 April 10 dan 13
April.

"Lawatan kerja Perdana Menteri ke Amerika akan meningkatkan lagi hubungan
dua hala dan kerjasama antara Malaysia dan Amerika. Lawatan ini juga akan
profail Malaysia melalui penganjuran program Faces of Malaysia Showcase,"
menurut kenyataan itu.

Ini adalah lawatan kedua Najib ke Amerika sejak menjadi Perdana Menteri
pada April tahun lalu. Lawatan kerja pertama ke Washington DC dan New York
adalah pada 22 hingga 25 September semasa dalam perjalanan bagi menghadiri
Persidangan Ketua-ketua Kerajaan Komanwel di Trinidad dan Tobago. - Bernama

0 comments: