Followers

Thursday, April 8, 2010

Najib adakan pertemuan dua hala dengan PM Vietnam

HANOI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Vietnam, Nguyen Tan Dung di sebuah hotel di sini hari ini.

Kedua-dua pemimpin itu membincangkan isu dua hala, serantau dan antarabangsa selama kira-kira sejam sehingga 12 tengah hari sebelum mereka menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara sebuah syarikat dari Malaysia, Jaks Resources Berhad dan empat entiti Vietnam di hotel yang sama.

Perjanjian itu bagi pembangunan projek loji tenaga thermal yang dijana arang batu berkapasiti 1200 megawatt (MW)berharga AS$2 bilion (RM6.4 bilion) di Wilayah Hai Duong.

Vietnam diwakili oleh empat pihak terdiri daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Pejabat Wilayah Hai Duong, Electricity of Vietnam dan Vinacomin.

Terdahulu, Najib merasmikan hotel lima bintang dengan 359 bilik, InterContinental Hanoi Westlake Hotel, di sini yang dimiliki oleh Berjaya Corporation Berhad, sebuah syarikat dari Malaysia.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan, berkata hotel itu yang dibuka pada 2008, telah beberapa kali mendapat anugerah antarabangsa termasuk dipilih sebagai Hotel Bandaraya Terbaik Vietnam.

Beliau berkata, pelaburan syarikat berkenaan di negara ini termasuk pelaburan dan pembangunan hartanah, khidmat pembrokeran stok serta pendidikan.
"Ini telah membantu menjalin hubungan dua hala antara kedua-dua negara Asean ini, dan merintis laluan bagi mewujudkan pelaburan seterusnya di masa depan," katanya.

Selain itu, Najib menyaksikan majlis memeterai perjanjian antara Gamuda Berhad dari Malaysia, Gamuda Land Vietnam dan Jawatankuasa Penduduk Bandaraya Hanoi bagi pembangunan projek rawatan kumbahan bernilai AS$500 juta (RM1.6 bilion) di daerah Hoang Mai dan projek Pembangunan Perbandaran di sini.

Perdana Menteri turut menyaksikan perjanjian yang dimeterai antara AirAsia Berhad dan VietJet Aviation Joint Stock Company bagi perkhidmatan berkaitan pengangkutan udara bernilai US$3.5 juta (RM11.3 juta) kepada VietJet Aviation Joint Stock Company di negara ini.

Najib ketika ini menghadiri upacara perasmian Sidang Kemuncak Asean ke-16 di Pusat Konvensyen Nasional di sini. - Bernama

0 comments: