Followers

Wednesday, April 7, 2010

Malaysia dijangka terima pelaburan RM2.3 bilion dari Perancis

PARIS: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia dijangka menerima pelaburan RM2.3 bilion dalam tempoh dua hingga empat tahun yang akan datang dari pelabur Perancis, terutamanya dalam bidang aeroangkasa.

Katanya, minat pelabur Perancis untuk melabur di Malaysia jelas kelihatan ketika beliau mengadakan pertemuan dengan peneraju industri Perancis, yang dihadiri oleh 20 wakil 16 syarikat di sini.

"Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) akan menguruskan syarikat-syarikat Perancis ini untuk datang ke Malaysia dan memperkenalkan bakal usahawan kita yang berminat untuk bekerja sama dengan mereka," katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasminya ke sini, hari ini.
Beliau berada di sini bagi menghadiri mesyuarat dua hari Lembaga Eksekutif Unesco ke-184 di ibu pejabat Unesco di sini.

Antara bidang yang diwakili di dalam kumpulan pelabur Perancis itu termasuk industri aeroangkasa, teknologi komunikasi dan maklumat, elektronik dan bioteknologi, automotif, kejuruteraan, perhotelan, pertahanan serta badan perniagaan swasta.

Katanya, sebuah syarikat turut menawarkan kepakaran mengenai persijilan produk makanan halal dan pengenalan forensik DNA.

Syarikat berkenaan dijangka menubuhkan satu makmal di Malaysia dengan pelaburan awal antara 500,000 euro dan sejuta euro bagi mengenal pasti kandungan halal, khasnya untuk produk makanan.
Berdasarkan perbincangan dengan peneraju industri Perancis, Muhyiddin berkata, sebahagian besar daripada mereka sudah memahami dasar kerajaan, yang termasuk tawaran insentif yang disifatkan mereka amat menarik.

Beliau berkata, minat pelabur Perancis terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan memang satu perkembangan yang menggalakkan kerana mereka mengikuti perkembangan yang berlaku, seperti model ekonomi baru, menerusi Majlis Perniagaan Malaysia-France.

Pada masa kini katanya, jumlah pelaburan Perancis belum begitu besar kerana selama ini orang Perancis belum melihat Malaysia sebagai satu destinasi dari segi latar belakang sejarah dan bahasa.

"Jadi kita perlu ada interaksi yang rapat," katanya.

Sehingga kini, hanya 18 daripada lebih 2,600 syarikat serantau yang beroperasi di Malaysia datang dari Perancis.

Dari segi perdagangan dua hala, Perancis adalah rakan dagangan ke-empat terbesar Malaysia di dalam Kesatuan Eropah (EU), dengan dagangan keseluruhan dengan Perancis berjumlah AS$3.55 bilion dengan eksport berjumlah AS$1.55 bilion berbanding dengan import AS$2 bilion pada tahun lalu. - Bernama

0 comments: