Followers

Saturday, December 19, 2009

CyberSecurity Malaysia: Awasi laman web perbankan Internet palsu

KUALA LUMPUR: Perbuatan mencuri maklumat menerusi internet semakin meningkat, demikian menurut nasihat oleh Pusat Bantuan Cyber999 CyberSecurity Malaysia.

Pusat Bantuan Cyber999 menerima banyak laporan daripada pengguna internet mengenai laman web yang hosnya dari luar negara.

Ia seperti beberapa laman web e-perbankan bank terkemuka di negara ini.

Laman web penipuan itu atau laman web palsu digunakan untuk "serangan mencuri" yang memanipulasi kelemahan keselamatan manusia.

Ia dilakukan dengan menceroboh entiti sebenar, sebagai contoh, meniru laman web perbankan biasa.

"Serangan mencuri" ini juga menggunakan taktik kejuruteraan sosial seperti menghantar e-mel spam, katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Kandungan e-mel terbabit menggunakan perkataan-perkataan yang meyakinkan untuk menipu orang ramai supaya membuka hubungan yang akan membuka laman web perbankan palsu.

Memandangkan laman web itu sama seperti laman web sebenar, pelanggan terpedaya dengan memasukkan maklumat sulit, seperti nama pengguna dan kata laluan e-perbankan ke dalam laman web e-perbankan palsu itu.

Menerusi kaedah itu, "serangan mencuri" mudah mencuri nama pengguna dan kata laluan pelanggan bank yang tidak mengesyakinya.

Bank tidak pernah meminta pengguna membuat kemas kini, menukar semula kata laluan, membuka akaun atau apa saja berkaitan perbankan menerusi e-mel dan URL.

"Jika anda menerima e-mel sama seperti daripada bank atau institusi perbankan, nasihat kami ialah abaikannya.

"Jika anda curiga, sila hubungi bank anda untuk tujuan pengesahan atau hubungi Pusat Bantuan Cyber999, kata Ketua Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Husin Jazri.

CyberSecurity Malaysia ialah pusat pakar keselamatan siber nasional di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. - Bernama

0 comments: