Followers

Saturday, December 19, 2009

220 cerun sekitar Lembah Klang tidak selamat

TAMPIN: Hasil kajian awal terhadap cerun yang berbahaya meliputi kawasan seluas 100 kilometer persegi di sekitar Lembah Klang sudah diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk diambil tindakan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata hasil kajian itu dapat membantu PBT mengenal pasti dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan terhadap cerun yang didapati berisiko terdedah kepada kejadian tanah runtuh.

Katanya, kajian itu untuk tujuan pemetaan membabitkan kawasan yang terletak di bawah Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Kajang.

"Kajian itu membolehkan kerajaan merancang pembangunan dengan lebih selamat selepas mengenal pasti lokasi berisiko tinggi," katanya selepas menyampaikan bantuan pakaian seragam sekolah dan sagu hati kepada pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sini, hari ini.

Shaziman berkata, kajian itu, yang menelan belanja RM5.5 juta itu, sudah mengenal pasti 583 cerun dan tanah berbahaya di sekitar Lembah Klang dengan 215 hingga 250 daripada cerun tersebut memerlukan perhatian dan tindakan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kajian itu membabitkan peringkat permukaan dan bukan satu kajian geologi atau kestabilan cerun.

Dalam perkembangan lain, katanya, kementeriannya sudah menerima laporan mengenai kejadian bumbung runtuh di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, Jun lalu.

Katanya, hasil laporan itu akan dimaklumkan kepada orang ramai selepas ia dibincangkan oleh Kabinet. - Bernama

0 comments: