Followers

Saturday, December 19, 2009

Umno tuntut jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang

GEORGETOWN: Umno Pulau Pinang menuntut supaya jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri diserahkan kepada parti itu bagi memantapkan kedudukan BN di peringkat negeri.

Perkara itu diputuskan pada mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, malam tadi.

Sejak dulu hingga sekarang, jawatan itu dipegang oleh pemimpin Gerakan dan ketika ini, jawatan itu disandang oleh Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Bercakap pada sidang media selepas mempegerusikan mesyuarat itu, Ahmad Zahid berkata, berikutan keputusan itu, Umno Pulau Pinang meminta Pengerusi Dewan Tertinggi BN, Datuk Seri Najib Razak, menimbangkan tuntutan berkenaan.

"Umno Pulau Pinang meminta Pengerusi Dewan Tertinggi BN supaya jawatan Pengerusi BN Pulau Pinang diserahkan kepada Umno.

"Biar Umno selaras BN Pulau Pinang supaya lebih berkesan membantu parti komponen di negeri ini," katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden Umno berkata, permintaan itu adalah wajar memandangkan Umno kini mempunyai 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan dua Ahli Parlimen berbanding parti komponen lain yang tidak wakil rakyat di negeri ini.

Parti komponen lain iaitu Gerakan, MCA dan MIC tidak mempunyai sebarang kerusi sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen kerana kalah semua kerusi pada pilihan raya umum lalu.

"Permintaan ini adalah wajar kerana kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada Umno Pulau Pinang. Permintaan ini munasabah dan rakan parti komponen lain mungkin menyokong.

"Umno bukan setakat hanya berhajat untuk mengambil alih jawatan itu semata-mata, tetapi bagi memantapkan BN negeri. Ia bukan soal kepentingan personaliti tetapi demi kebaikan BN," katanya.

Ditanya adakah Umno berbincang dengan parti komponen lain mengenai hasrat itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan, berkata pihak tidak perlu berbuat demikian.

Mesyuarat itu juga membuat keputusan memohon supaya Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, turut memberi perkenan pelantikan barisan ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) yang bukan saja membabitkan wakil pakatan pembangkang.

Sehubungan itu, Adun daripada Umno Pulau Pinang akan menghadap Seri Paduka bagi menyatakan pendirian berkenaan dalam masa terdekat.

Tauliah barisan ahli Maipp termasuk Yang Dipertuanya, Shabudin Yahaya iaitu Adun Permatang Berangan daripada Umno akan tamat akhir bulan ini.

Mesyuarat itu turut membuat keputusan supaya jabatan dan agensi Kerajaan Pusat melaksanakan projek yang memberi keuntungan kepada orang Melayu yang mula kelihatan terpinggir supaya mereka tidak terus ketinggalan.

Mesyuarat juga mengalu-alukan keputusan Majlis Tertinggi Umno (MT) yang menarik balik hukuman penggantungan ke atas bekas Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail.

"Kami menyerahkan kepada Umno Bahagian Bukit Bendera untuk mengambil langkah tertentu bagi memberi peluang kepada Ahmad melakukan tugas yang bersesuaian," katanya.

0 comments: