Followers

Saturday, December 19, 2009

India cadang tubuh kumpulan khas untuk pelabur jalan raya Malaysia

NEW DELHI: India mencadangkan kumpulan khas untuk menarik lebih ramai pembina jalan raya dari Malaysia ditubuhkan bagi pelaburan dalam projek prasarana lebuh raya negara itu.

Menteri Pengangkutan Jalan dan Lebuh Raya India, Kamal Nath, berkata kumpulan itu akan membantu untuk mendapatkan sokongan kerajaan kepada kerajaan dalam sektor ini, di mana India sedang cuba mendapatkan pelaburan asing yang besar dan kepakaran.

"Kami sudah berbincang tentang kemungkinan hubungan kerajaan kepada kerajaan di antara kedua-dua negara. Satu kumpulan akan ditubuhkan serta merta untuk membantu pelaburan Malaysia dalam sektor pembangunan lebuh raya," katanya di sini.

Kini, India pesat membangun dan ia turut membabitkan kerja menyiapkan jalan raya sepanjang 7,000 km setiap tahun dengan sasaran 20 km sehari.

Ia bertujuan melengkapkan negara itu dengan prasarana berkenaan bagi menjana pertumbuhan ekonominya.

Sistem jalan raya India sepanjang 3.3 juta km adalah yang paling besar di dunia selepas Amerika Syarikat.

Kerajaan memperuntukkan AS$92 bilion (RM322 bilion) sehingga 2012 untuk membangunkan projek jalan rayanya.

"Kami mahu syarikat Malaysia mengambil bahagian dalam program pembinaan lebuh raya sebagai pembida dan perunding.

"Kami juga mahu belajar daripada pengalaman Malaysia dalam teknologi tol. Malaysia mempunyai 15-20 tahun pengalaman dalam sektor ini dan kini terbabit dalam 35 projek dalam negara ini," tambah Nath.

Kumpulan itu mungkin membabitkan Suruhanjaya Perancangan dan kementerian kewangan dan jalan raya.

Satu memorandum persefahaman antara Malaysia dan India kini dalam peringkat cadangan bagi meningkatkan kerjasama dalam sektor ini.

Menteri Kerjaraya Malaysia, Datuk Shaziman Abu Mansor, sudah berbincang dengan Nath di Delhi awal minggu ini. - Bernama

0 comments: