Followers

Friday, December 11, 2009

Pentadbiran Najib bawa ombak perubahan dalam struktur pentadbiran negara

PUTRAJAYA: Peralihan kuasa daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April 2009 membawa ombak perubahan yang bukan sedikit.

Serentak dengan pembentukan barisan kabinetnya enam hari kemudian, Najib mengumumkan pelaksanaan sistem pentadbiran yang memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan lebih berkualiti menerusi pelaksanaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebagai elemen utama kepada semua anggota kerajaan, tidak terkecuali barisan menteri dan kementerian yang diterajui mereka.

Boleh diibaratkan sebagai ''tanda amaran'', penguatkuasaan KPI itu secara tidak langsung membuatkan semua anggota kerajaan terpaksa bersiap-siaga dalam melaksanakan tuntutan tugas dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan terhadap mereka bagi memberikan yang terbaik kepada rakyat, selaras dengan prinsip Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Pelaksanaan KPI yang dipantau oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pada dasarnya merupakan pendekatan yang sebenarnya telah lama diguna pakai oleh sektor korporat untuk mengukur prestasi Ketua Pegawai Eksekutif sesebuah syarikat.

Sebaik diumumkan oleh Najib, pelaksanaan KPI mendapat reaksi positif daripada semua pihak termasuk barisan menteri yang melihat aspek itu sebagai langkah positif dan proaktif dalam meningkatkan prestasi dan pencapaian untuk manfaat rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, formula KPI yang diperkenalkan itu adalah medium untuk rakyat melihat kesungguhan Perdana Menteri dalam melaksanakan segala agenda demi pembangunan negara.

Formula itu, kata beliau, akan menjadi pendorong kepada setiap menteri untuk sentiasa peka terhadap tuntutan tanggungjawab yang perlu dilunaskan untuk memastikan setiap sasaran yang diberi dapat direalisasikan.

Najib pula berkata pendekatan KPI diperkenalkan yang menekankan impak, bukannya input, dan hasil, bukannya keluaran, adalah untuk memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang berbaloi.

Katanya beliau juga akan terlibat secara peribadi dan langsung untuk mengkaji prestasi semua menteri pada setiap enam bulan.

Iltizam Perdana Menteri dalam melahirkan transformasi besar kepada Malaysia agar muncul sebagai sebuah negara dan kerajaan yang lebih bertanggungjawab, berfokus dan mendahulukan kehendak rakyat dalam semua segi bukan satu omongan kosong.

Pengumuman Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pada 11 Julai lalu yang menggariskan enam teras utama secara langsung merupakan wawasan Najib dalam membentuk sebuah negara yang menjadikan kehendak dan kebajikan rakyat sebagai aspirasi utama.

Dengan bermatlamat membanteras jenayah, membanteras rasuah, meningkatkan pendidikan, menaik taraf isi rumah berpendapatan rendah, menaik taraf infrastruktur asas di kawasan pedalaman dan menaik taraf sistem pengangkutan di kawasan bandar, NKRA turut mengandungi sekurang-kurangnya satu KPI bagi setiap teras yang akan dikenali sebagai KPI Negara (N-KPI).

Pelaksanaan NKRA dibahagikan kepada dua fasa melibatkan peringkat negara dan kementerian yang berkuatkuasa pada tempoh berlainan.

Koh berkata NKRA pada peringkat negara dilaksanakan bermula September tahun ini manakala peringkat kementerian yang dikenali sebagai KRA akan dilaksanakan mulai Januari tahun depan.

"Semua menteri dan kementerian masing-masing telah diarah supaya mengenal pasti lapangan KRA masing-masing untuk memperoleh pencapaian yang optimum," katanya.

Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat KRA pada setiap bulan untuk memastikan semua kementerian melaksanakan KRA masing-masing dengan efektif.

Kabinet baru yang dibentuk pada 9 April lalu melibatkan barisan jemaah menteri yang lebih kecil, terdiri daripada 28 menteri dan 25 kementerian, berbanding 32 menteri dan 27 kementerian semasa pentadbiran Abdullah.

Ia antara lain mencerminkan slogan pentadbiran Najib iaitu "1Malaysia. Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", yang mengajak rakyat bersama-sama melaksanakan transformasi besar untuk negara. - Bernama

0 comments: