Followers

Friday, December 11, 2009

Beri laluan kepada produk tempatan: Muhyiddin

MELAKA: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta pasaraya besar di negara ini supaya tidak mengenakan syarat yang terlalu ketat, terutama sekali produk di bawah program Satu Daerah Satu Industri (SDSI), bagi membolehkan produk pengusaha tempatan dijual melalui pasaraya berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pasaraya besar sewajarnya memberi lebih ruang kepada produk tempatan, seperti dari SDSI, kerana mutu produk berkenaan semakin bertambah baik.

Sehubungan itu, katanya, produk yang telah memenuhi kriteria awal yang ditetapkan oleh sesebuah pasaraya besar, sepatutnya diberi laluan mudah.

"Saya harap pasaraya besar memberi pertimbangan saksama kepada pengeluar supaya tidak mengenakan bayaran yang tinggi untuk mempamerkan produk."

"Kalau mereka boleh kurangkan (bayaran sedemikian), maka lebih banyak produk tempatan (seperti dari SDSI) dapat dipamerkan untuk promosi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Showcase SDSI 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini.

Seramai 537 syarikat mengambil bahagian dalam pameran itu yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Muhyiddin berkata, produk SDSI juga boleh dipamerkan sepanjang masa di premis tetap yang disediakan oleh kerajaan negeri seperti yang dilakukan oleh kerajaan Melaka yang menawarkan premis tetap di Kota Fesyen di sini.

Semasa berucap di majlis itu, Muhyiddin mahu usahawan kecil dan sederhana mengatur strategi perniagaan serta membuat penyelidikan dan pembangunan produk untuk menghasilkan keluaran baharu, sentiasa memahami kehendak pelanggan yang mempunyai pelbagai citarasa terhadap produk dan perkhidmatan berkualiti.

Katanya, usahawan juga perlu memberi perhatian terhadap penjenamaan yang menjadi elemen penting dalam memastikan sesuatu produk dikenali dan dapat menembusi pasaran yang lebih luas.

"Walau pun sudah ramai usahawan dilahirkan melalui SDSI, kerajaan melalui pelbagai agensinya akan terus mengembangkan penyertaannya berikutan skop dan potensinya yang masih luas."

Beliau yang baru pulang dari lawatan kerja ke Jepun, juga mahukan pengusaha mencontohi peniaga dan usahawan kecil di Jepun yang berjaya menghasilkan produk bermutu tinggi dengan kaedah pemasaran yang baik. - Bernama

0 comments: