Followers

Sunday, November 1, 2009

Wanita Gerakan syor 7E realisasi 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Wanita Gerakan menggariskan tujuh hala tuju atau 7E bagi merealisasikan gagasan 1Malaysia.

7E merujuk kepada memastikan Perlembagaan Persekutuan terletak di kedudukan yang tinggi, memastikan kompetensi, akauntabiliti dan ketelusan, mementingkan hak asasi manusia dan memupuk serta mewujudkan masyarakat demokrasi.

Ia juga merujuk kepada usaha membasmi semua bentuk diskriminasi dan undang-undang diskriminasi, mendidik dan menggalakkan ekonomi adil bagi semua dan kuasa bagi mewujudkan masyarakat yang adil dan saksama.

Ikrar itu dilafazkan perwakilan Wanita Gerakan pada persidangan kebangsaan pergerakan itu yang berlangsung di Menara PGRM di sini hari ini.

Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe, berkata gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, adalah merupakan gagasan murni bagi memastikan perpaduan yang utuh dicapai di negara ini, dengan menitikberatkan kebajikan dan pembelaan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

"Wanita Gerakan akan sentiasa berganding bahu dengan Pemuda dan parti induk untuk mendekati rakyat daripada pelbagai peringkat umur, untuk digembleng bersama kerajaan dalam menangani kemelut ekonomi di samping memastikan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) dapat direalisasikan.

"Segala polisi dan dasar kerajaan mesti dilaksanakan dengan adil dan telus untuk rakyat Malaysia, tanpa membezakan warna kulit, keturunan, agama dan latar belakang, agar rakyat daripada semua kaum digembleng bersama untuk mara ke hadapan," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada persidangan itu.

Dalam ucapannya, Tan turut menyentuh kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam tujuh pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum tahun lalu dengan menyatakan antara faktor yang menjadi punca kepada kekalahan itu ialah kelemahan calon.

Beliau berkata, rakyat kini mahukan calon yang berintergriti, berkualiti, mesra rakyat dan boleh berkhidmat untuk mereka.

Tan juga berkata, untuk menyakinkan rakyat bahawa Gerakan adalah parti yang masih relevan, segala kepincangan dalam kepimpinan parti perlu ditangani dengan segera dan berhemah.

"Rakyat dahagakan sumbangan daripada pemimpin politik dan bukannya percakaran sesama pemimpin untuk berebut kuasa demi kepentingan politik sendiri.

"Kita harap semua ahli parti dan parti komponen sedar akan tanggungjawab dan peranan masing-masing, kerana tindak-tanduk semua akan secara langsung memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) secara keseluruhannya," katanya.

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. - Bernama

0 comments: