Followers

Sunday, November 1, 2009

Gerakan garis lapan strategi untuk kekal relevan

KUALA LUMPUR: Gerakan hari ini menggariskan lapan strategi sebagai hala tuju parti bagi memberi fokus dan tenaga baru kepada semua ahlinya supaya parti itu terus kekal relevan.

Presidennya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata lapan strategi itu terkandung dalam edisi baru booklet Strategi 11388 yang turut memasukkan nilai-nilai 1Malaysia.

"11388 bermaksud satu wawasan, satu misi, tiga teras, lapan strategi dan lapan bidang utama," katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan di Menara PGRM, di sini.

Persidangan itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Booklet Strategi 11388 sudah dilancarkan dua tahun lalu, bersempena Kemerdekaan ke-50 tahun negara dan edisi baru yang dilancarkan Najib hari ini, memasukkan elemen 1Malaysia bagi menyuntik komitmen kepada ahli dan parti.

Koh berkata, antara strategi itu ialah dengan meneruskan perspektif Gerakan dan pendekatan bukan perkauman bagi mengungkap pendirian dasar dan mengemukakan jalan penyelesaian yang sebaik mungkin terhadap beberapa isu nasional yang berkaitan.

Ia juga akan meneruskan peranan sebagai suara-suara dengan bersebab dalam BN, mendokong segala pembaharuannya di samping memainkan peranan sebagai pembangkang yang bersifat membina di negeri di bawah pentadbiran Pas-DAP-PKR, kata beliau.

Strategi lain, termasuk mengukuhkan semula ikatan dengan rakyat dengan memberi perkhidmatan dan melaksanakan aktiviti di beberapa kawasan di bawah pimpinan Gerakan selain menjalin perkongsian bestari dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan rangka kerja dalam bidang spesifik seperti hak asasi manusia, alam sekitar dan pendidikan, katanya.

Beliau berkata, parti akan terus bergerak maju ke hadapan dengan berpegang teguh kepada pegangan asas dan prinsip dalam dokumen nasional utama seperti Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Wawasan 2020.

Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata Gerakan mula mengaktifkan semula dan memotivasikan organisasi parti di peringkat akar umbi dengan mengambil ahli baru, terutama sekali di Sabah.

"Selain itu, kita akan memulakan siri latihan politik dalam usaha untuk mengukuhkan komitmen kita, meningkatkan ilmu dan kemampuan memimpin, membentuk dan mengaktifkan semula beberapa biro pusat dan mula melaksanakan strategi komunikasi yang lebih berkesan dalam penyampaian hasrat dan matlamat kita," katanya.

Beliau berkata, selepas pilihan raya umum lalu, terdapat skeptik yang menyuntik kecurigaan tentang kemampuan Gerakan sebagai sebuah parti politik dan kedudukan parti itu yang masih relevan dan berdaya saing.

"Kepada pengkritik-pengkritik ini, kita hanya mempunyai satu jawapan, anda salah! Tetapi, kepada mereka yang meyakini keikhlasan dan kemampuan kita untuk terus menyumbang ke arah destinasi negara, saya ingin menggesa tuan-tuan dan puan-puan sekalian untuk menyertai dan menyokong kami," tegas beliau.

Beliau mahu semua ahli Gerakan tampil menyumbang ke arah pembinaan semula parti bagi meraih kembali keyakinan dan sokongan rakyat.

"Dengan menunjukkan keikhlasan dan pengorbanan kita, ia akan pasti memenangkan hati rakyat. Sekiranya kita mempunyai komitmen yang sama, saya pasti kita akan menerajui Gerakan kembali ke jalan pemulihan dan kejayaan," tambahnya. - Bernama

0 comments: