Followers

Sunday, November 1, 2009

Kajian tenaga hampir siap

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kertas kerja kajian semula dasar bahan api negara bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api asli hampir siap.

Perdana Menteri berkata, kajian semula itu penting supaya negara tidak terlalu bergantung kepada gas asli dan arang batu, dan melihat kepada sumber lain seperti hidroelektrik dan tenaga boleh diperbaharui.

Beliau berkata, bahan api daripada sumber asli kini tidak begitu sesuai kerana jumlahnya terhad, selain harganya lebih tinggi yang tidak seharusnya digunakan untuk penjanaan elektrik.

“Kita dalam proses mengkaji semula ‘fuel mix’ untuk negara kita. Ia tidak akan berubah dalam jangka masa pendek tetapi dalam jangka masa sederhana dan panjang. Langkah awal perlu kita lakukan sekarang," katanya pada sidang media selepas melancarkan perayaan ulang tahun ke-60 Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Kompleks Sukan TNB sini, semalam.

Najib berkata, gas asli adalah satu bahan api tenaga yang tinggi nilainya, manakala arang batu tidak begitu mesra alam.

“Tidak seharusnya digunakan untuk penjanaan elektrik semasa. Kita juga perlu mencari bahan api yang mesra alam," katanya.

Ditanya sama ada tenaga nuklear juga diambil kira dalam kajian berkenaan, katanya ia sedang dikaji, namun peralihan kepada penggunaan tenaga nuklear perlu mengambil perancangan yang rapi dan teliti kerana ia memakan masa yang agak panjang sebelum boleh dibangunkan.

"Jangka waktu pelaksanaan ini mengambil masa yang lama. Dari proses membuat keputusan sehingga tenaga pertama dihasilkan ia mengambil masa 12 hingga 15 tahun," katanya.

Sementara itu, Najib berkata, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi TNB ialah dapat membekalkan elektrik berkualiti tanpa sebarang masalah terputus atau berlaku gangguan bekalan di mana-mana kawasan di negara ini.

Katanya, kualiti elektrik yang dibekalkan juga perlu berada dalam tahap tinggi untuk pengguna di negara ini serta menarik pelabur dalam pelbagai bidang bagi membolehkan negara menjadi negara berpendapatan tinggi.

“Jangan ada lagi persoalan mengenai kualiti elektrik yang dibekalkan sama sekali. Jangan ada keraguan terhadap kualiti elektrik di mana-mana saja. Jangan ada sedikit pun perkataan ‘black out’... di telinga kita dan jangan ada perkataan itu di bibir pengguna dan pelabur.

“Saya mahu pasti TNB terus memberikan sistem jana kuasa dan pembekalan elektrik yang berkualiti tinggi. Ini boleh saya katakan KPI untuk TNB,” katanya.

Pada sidang media itu, Najib berkata, pengurusan TNB akan memperincikan lagi KPI untuk kakitangannya supaya selaras dengan KPI yang beliau nyatakan dalam ucapannya.

Katanya, kerajaan pada umumnya sentiasa melihat keperluan pengguna dan kualiti bekalan elektrik untuk industri berteknologi tinggi.

0 comments: