Followers

Sunday, October 11, 2009

Projek RMK-10 beri keutamaan keperluan rakyat

ALOR SETAR: Kerajaan akan mendapatkan input sebanyak mungkin di peringkat bawahan, terutama di setiap negeri bagi membolehkan projek yang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) memberi keutamaan kepada keperluan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata untuk tujuan itu pihaknya mendapatkan maklum balas lebih awal daripada setiap agensi di peringkat negeri supaya maklumat yang dikumpul lebih menyeluruh.

"Kita sudah mulakan perancangan setahun lebih awal dengan mengumpul maklumat dan mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan negeri dan agensi di peringkat negeri.

"Kerajaan akan mendapatkan input yang banyak untuk membolehkan kita melaksanakan projek yang memberi keutamaan kepada keperluan rakyat demi kesejahteraan mereka.

"Selain itu, kerajaan berpendapat RMK-10 juga amat penting untuk menyediakan landasan yang betul untuk kita mencapai Wawasan 2020 ," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri untuk mengumpul maklumat mengenai input yang diperlukan bagi melaksanakan RMK-10.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Kedah adalah negeri kedua dilawati oleh Nor Mohamed dan pegawai Unit Perancangan Ekonomi (UPE) Jabatan Perdana Menteri selepas Perlis dan esok beliau akan ke Perak.

Nor Mohamed berkata, RMK-10 yang akan bermula 2011 hingga 2015 akan dibentangkan di Parlimen pada 10 Jun 2010.

0 comments: