Followers

Sunday, October 11, 2009

Saudara baru di Wilayah Persekutuan meningkat

KUALA LUMPUR: Bilangan saudara baru yang memeluk agama Islam di Wilayah Persekutuan mencatatkan peningkatan kepada 759 orang sejak awal tahun ini sehingga bulan lalu berbanding 597 orang pada tahun lalu.

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Zainal Abidin Jaafar, berkata peningkatan itu sejajar usaha gigih Jawi dalam menyebarkan syiar Islam dan satu perubahan positif di kalangan saudara baru yang mula sedar akan kebenaran yang dibawa ajaran Islam.

"Kami juga menjangkakan jumlah itu akan meningkat kepada 1,000 orang menjelang akhir tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Jawi bersama orang kurang upaya (OKU) dan saudara Muslim di sini hari ini.

Dalam tempoh itu juga katanya, Jawi telah mengeluarkan peruntukan insentif sebanyak RM1.5 juta kepada saudara baru berkenaan.

Beliau berkata, pemberian insentif itu sekurang-kurangnya menjadi perangsang untuk mereka terus mendekati dan menyayangi agama Islam.

"Pemberian insentif yang dimulakan sejak tahun lepas ini membabitkan tiga kategori iaitu bagi 18 tahun ke atas sebanyak RM1,500, tujuh tahun hingga 17 tahun RM1,000 dan enam tahun ke bawah sebanyak RM500.

"Sebelum kami beri insentif ini kepada mereka (saudara baru), kami akan temuduga mereka dulu bagi memastikan sama ada mereka ikhlas atau tidak untuk memeluk agama Islam dan sekaligus daripada temuduga itu kami dapat mengelak daripada golongan atau individu yang cuba mengambil kesempatan ke atas pemberian insentif itu," katanya.

Beliau berkata, 98 peratus daripada 759 saudara baru yang berdaftar dengan Jawi pada tahun ini ternyata ikhlas dan mahu meneruskan bimbingan ajaran agama Islam mereka.

"Selebihnya itu kami dapati mereka adalah golongan yang tidak ikhlas dan telah kembali kepada ajaran agama asal mereka," katanya.

Katanya, kelas bimbingan agama pada tahun ini juga meningkat kepada lebih 600 kelas berbanding 576 pada tahun lalu yang sejajar dengan peningkatan jumlah saudara baru.

"Kelas ini kebanyakkannya dianjurkan oleh MACMA (Persatuan Cina Muslim Malaysia) dan Perkim (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia) dengan kerjasama Jawi," katanya. - Bernama

0 comments: