Followers

Sunday, October 11, 2009

Terus jaga kebersihan walau kes H1N1 berkurangan

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta terus menjaga kebersihan, mengamalkan cara hidup sihat dan mengambil langkah-langkah pencegahan walaupun jumlah kes Influenza A(H1N1) semakin berkurangan dan tiada kes kematian dilaporkan sejak kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata ini kerana penularan penyakit itu masih aktif di kalangan masyarakat.

Beliau berkata, 81 pesakit baru dengan gejala penyakit serupa Influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital di seluruh negara manakala 152 kes didiscaj hari ini.

Jumlah semasa kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara sehingga hari ini ialah 635 orang dengan 31 pesakit disahkan kes H1N1.

"Sebanyak lapan kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sementara tiada kes didiscaj pada hari ini dan sehingga kini tiada kematian dilaporkan dengan jumlah kematian kekal pada 77 kes," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, lapan kes yang dirawat di ICU itu mempunyai faktor risiko iaitu tiga daripada pesakit kanak-kanak bawah umur lima tahun, tiga berpenyakit kronik, satu berpenyakit obesiti dan satu lagi dengan dua faktor risiko iaitu bawah umur lima tahun serta berpenyakit kronik.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) meneruskan pemantauan tahap kesihatan anaknya dan memastikan mereka mendapat rawatan segera dari klinik atau hospital sekiranya dijangkiti penyakit ILI serta melaporkan kepada pihak sekolah supaya tindakan yang bersesuaian dapat diambil. - Bernama

0 comments: