Followers

Friday, October 2, 2009

Keluarga syukur pelajar selamat, hargai usaha kerajaan

SUBANG: Keluarga penuntut Malaysia di Padang melahirkan rasa syukur dan berterima kasih di atas tindakan pantas kerajaan Malaysia membawa anak mereka pulang ke tanah air berikutan kejadian gempa bumi yang melanda Sumatera Barat kelmarin.

Ibu bapa dan anggota keluarga yang menunggu sejak 11 malam tadi, tidak dapat menahan sebak dan pilu sebaik menatap wajah anak-anak mereka yang juga kumpulan pertama penuntut yang tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini pada 5.05 pagi.

Tamil Segeran, 53, berkata beliau berasa panik sebaik dimaklumkan oleh anaknya, T Nishantani, 19, melalui khidmat pesanan ringkas kejadian gempa bumi itu.

Beliau semakin bimbang apabila gagal menghubungi anak perempuannya yang menuntut di Universitas Andalas.

"Saya hanya dapat menghubunginya pada 8.30 malam (pada hari kejadian) dan merasa amat lega dan bersyukur kepada tuhan apabila anak saya memaklumkan yang dia selamat," katanya ketika ditemui di luar perkarangan Masjid Al-Muhajirin TUDM di sini.

Beliau berkata, tindakan pantas kerajaan Malaysia membawa pulang penuntut di Padang benar-benar menunjukkan semangat 1Malaysia.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang melakukan persediaan rapi bagi membawa pulang penuntut kita dengan selamat. Saya cukup berbangga menjadi rakyat Malaysia dan ini menggambarkan kerajaan sangat-sangat prihatin," katanya.

Kumpulan pertama 120 pelajar selamat mendarat di Pangkalan TUDM Subang pada 5.05 pagi tadi apabila pesawat yang dijadual tiba jam 3 pagi lewat mendapatkan pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, yang terletak kira-kira 23 kilometer dari pusat bandar Padang.

Pesawat berkenaan berlepas dari lapangan terbang itu pada 3.55 pagi tadi.

Kegembiraan itu turut dikongsi S Balasundram yang gembira melihat anak lelakinya B Satilkumar tiba dengan selamat di tanah air.

Katanya, sebaik menerima laporan kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter itu, beliau terus menghubungi Wisma Putra untuk mengetahui keadaan anaknya dan penuntut di Padang.

"Ketika itu, Wisma Putra tidak mendapat maklumat lagi dan selepas dua jam kejadian itu, saya menghubungi Wisma Putra kembali dan mereka memaklumkan semua penuntut di sana selamat," katanya.

Beliau berkata sumbangan kerajaan dengan menyediakan penerbangan pulang para penuntut itu amat dihargai.

Sementara itu, Narimah Zakaria pula berkata kebimbangan mengenai keselamatan anaknya berakhir apabila anaknya itu kini berada di depan mata.

Menceritakan detik-detik mencemaskan itu, beliau berkata anaknya, Nadia Diana Hamzah, menghubunginya kira-kira 5.30 petang untuk memaklumkan beliau telah tamat peperiksaan.

Namun setengah jam kemudian, beliau sekali lagi dihubungi anaknya yang dalam keadaan trauma apabila menyatakan berlaku kejadian gempa bumi dahsyat di Padang.

"Suara anak saya ketika itu berada dalam ketakutan dan trauma dan adakalanya menangis dan menjerit membuatkan saya bimbang akan keselamatannya," katanya.

Katanya, beliau merasa amat gembira dan bersyukur anaknya selamat dan turut berterima kasih kepada kerajaan terutama Wisma Putra yang sentiasa memaklumkan maklumat terkini keadaan penuntut selain pembabitan TUDM dalam membawa pulang penuntut Malaysia. - Bernama

0 comments: