Followers

Wednesday, September 30, 2009

Sabah&Sarawak: Rela gadai nyawa


BEGINILAH sikap kebanyakan pejalan kaki di bandar raya Kota Kinabalu yang gemar melintas ketika lampu isyarat hijau.

Pejalan kaki tak hirau keselamatan, lintas jalan raya sesuka hati

KOTA KINABALU: Satu antara dua - sama ada mereka benar-benar tidak faham atau sengaja tidak mahu ambil tahu aspek keselamatan diri sendiri. Itulah yang harus ditanya kepada kebanyakan pejalan kaki di bandar raya ini yang sama ada tidak tahu atau tidak mahu mematuhi undang-undang jalan raya.

Apakah mereka tidak mahu menjaga keselamatan diri sendiri? Apakah kebanyakan pejalan kaki terbabit lebih rela menyerahkan keselamatan diri sendiri kepada pemandu kenderaan dan penunggang motosikal?

Anda tidak percaya? Cuba perhatikan sikap kebanyakan pejalan kaki di bandar raya ini, terutama di depan Terminal Bas Wawasan dan Kompleks Beli-Belah Center Point di tengah bandar raya ini. Boleh dikatakan kebanyakan mereka tidak mematuhi peraturan lalu lintas. Mereka melintas jalan ketika lampu isyarat hijau.

Pemandu kenderaan, termasuk kenderaan berat seperti bas dan lori, apatah lagi kereta atau penunggang motosikal terpaksa memberi laluan kepada pejalan kaki yang sengaja melintas jalan ketika lampu isyarat jelas berwarna hijau.

Bagi pemandu kenderaan yang agak laju, mereka terpaksa segera menekan brek untuk mengelak melanggar pejalan kaki yang tidak mengendahkan lampu isyarat.

KEBANYAKAN pejalan kaki di Kota Kinabalu yang tidak mementingkan keselamatan diri sendiri.

Walaupun perkara ini sudah biasa di bandar raya ini tetapi ia tidak mungkin dapat dilihat di bandar raya lain, terutama Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Boleh dikatakan, pejalan kaki di bandar raya berkenaan lebih berdisiplin ketika melintas jalan. Mereka lebih mementingkan nyawa daripada masa.

Yang peliknya, apabila pemandu kenderaan membunyikan hon sebagai tanda amaran ada sesetengah pejalan kaki yang menunjukkan isyarat lucah kepada pemandu.

Pejalan kaki harus sedar di Sabah, mereka adalah golongan pengguna jalan raya yang mencatatkan jumlah kematian tertinggi. Ia agak pelik jika dibandingkan dengan kes kemalangan maut di negeri lain yang kebanyakannya lebih menjurus kepada penunggang motosikal dan pemandu serta penumpang kenderaan.

Dari Januari hingga Ogos lalu, 54 kes daripada keseluruhan 197 kes kemalangan maut membabitkan pejalan kaki. Ia meningkat 11 kes (26 peratus) berbanding 43 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Berdasarkan statistik Jabatan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Daerah Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi, iaitu 17 diikuti Tawau (lima) dan Lahad Datu serta Sandakan masing-masing empat kes.

Kebanyakan kes kemalangan maut membabitkan pejalan kaki berlaku di jalan Kota-Kinabalu-Sepanggar, iaitu berhampiran Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Jumlah kemalangan bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini turut meningkat kepada 10,047 kes berbanding 9,498 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Sebanyak 197 kes kemalangan maut dicatatkan dalam tempoh berkenaan berbanding 192 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu. Purata kes kemalangan bagi lapan bulan pertama tahun ini adalah 47 kes sehari berbanding 45 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Sebanyak 16,127 kenderaan terbabit dalam kemalangan jalan raya dalam tempoh Januari hingga Ogos lalu dengan kereta mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 8,945 kes dan diikuti kenderaan pacuan empat roda (3,629), lori (926), van (865), motosikal (782), pikap (217), treler (203), bas (136), teksi (132), lain-lain (125), bas mini (121), bas sekolah (25) dan basikal (21).

Sehubungan itu, Polis Trafik, terutama di bandar raya ini harus bertindak menyaman pejalan kaki yang sengaja melintas jalan ketika lampu isyarat hijau. Hanya dengan tindakan seumpama ini mampu mendidik mereka supaya lebih berdisiplin ketika melintas jalan.

Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kementerian Pengangkutan di negeri ini harus berfungsi lebih aktif dalam mendidik pejalan kaki mengenai aspek keselamatan diri sendiri.

Kempen keselamatan jalan kaki, khusus untuk pejalan kaki harus diadakan dengan tujuan mendidik mereka untuk lebih menghormati undang-undang lalu lintas, sekali gus menjamin keselamatan diri sendiri dan bukannya menyerahkannya kepada pemandu kenderaan.

0 comments: