Followers

Wednesday, September 30, 2009

PM umum dasar FDI hari ini


NAJIB diiringi Forbes ketika menghadiri majlis makan malam Forbes Global CEO Conference di KLCC, malam tadi.

Pelaburan Arab jadi tumpuan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau akan membuat pengumuman penting hari ini membabitkan pelaburan langsung asing (FDI) di Asia Barat.

Bagaimanapun, Perdana Menteri yang menyertai program Bicara Minda dengan Pengerusi dan Ketua Eksekutif Forbes, Steve Forbes sempena Persidangan CEO Global Forbes Kesembilan 2009, di sini, malam tadi, enggan mendedahkan butiran lanjut perkara itu sebelum ia dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Katanya, pencapaian Malaysia selaku peneraju utama dunia dalam bidang perbankan Islam menjadikan negara sebagai pilihan utama pelabur negara Islam, terutama dari Asia Barat dan ia harus dimanfaatkan sebaik mungkin.

"Itulah sebabnya kita sedang giat membangunkan infrastruktur fizikal bagi menampilkan negara sebagai Pusat Perbankan Islam Sejagat mempromosi pelbagai produk kewangan Islam yang sudah diperkenalkan setakat ini.

"Khidmat perbankan Islam seperti insurans, dana modal dan bon Islam atau sukuk membolehkan sektor kewangan Islam bertumbuh pada kadar dua angka sejak beberapa tahun yang lalu, selaras dengan hasrat mencapai taraf negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Justeru, kita (Malaysia) perlu meningkatkan daya saing sehingga kelihatan di persada khidmat perbankan dan kewangan antarabangsa," katanya dalam bual bicara hampir sejam itu.

Forbes, yang juga Ketua Pengarang Forbes Magazines, menjadi pengantara sesi Bicara Minda yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Najib berkata, kerajaan sudah pun melaksanakan beberapa pendekatan bagi mempromosi khidmat kewangan yang ditawarkan, termasuk liberalisasi 27 sektor perkhidmatan dan kewangan.

Mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat, Perdana Menteri berkata, Malaysia berminat untuk memeterai perjanjian itu tetapi syaratnya perlu boleh diterima.

"Saya rasa Pusingan Doha akan siap secepat mungkin. Saya harap pentadbiran (Barack) Obama akan menyediakan kepemimpinan dalam memastikan konsep perdagangan bebas," katanya.

Sementara itu, Najib akan melawat Perancis selama em pat hari bermula Ahad ini dan dijadual membincangkan isu dua hala, serantau dan antarabangsa dengan Presiden Nicolas Sarkozy dan Perdana Menteri Perancis, Francois Fillion.

"Dalam lawatan sulung beliau ke Perancis sejak menjadi Perdana Menteri pada April lalu, Najib dan pemimpin negara itu akan turut bertukar-tukar pendapat mengenai krisis kewangan global dan alam sekitar," kata Wisma Putra dalam satu kenyataan, semalam.

0 comments: