Followers

Wednesday, September 30, 2009

Wawasan 2020 elak bergantung kos buruh rendah: Dr M

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Wawasan 2020 yang bermatlamat menjadikan Malaysia menjadi negara maju dalam tempoh 11 tahun lagi tidak akan tercapai sekiranya kerajaan terus bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI), yang menawarkan kos buruh yang rendah.

Bekas Perdana Menteri berkata, strategi terus bergantung kepada syarikat asing perlu ditukar kerana ia tidak menguntungkan negara pada jangka panjang, tambahan pula, Malaysia terpaksa berhadapan dengan persaingan sengit dengan negara lain yang menawarkan peluang pelaburan yang lebih kondusif.

Beliau berkata, sudah sampai masanya kerajaan menukar strategi dengan membantu syarikat besar tempatan membangun produk berkualiti bagi pasaran dunia menggunakan teknologi terkini yang diteroka dari negara luar.

Katanya, usaha itu bukan saja dapat membantu meningkatkan ekonomi negara malah meningkatkan pendapatan rakyat dengan menikmati gaji yang lebih tinggi setanding dengan produktiviti yang mereka tawarkan.

“Kita tidak boleh bergantung kepada FDI berdasar kepada kos buruh rendah dan kemudahan yang ada, kalau tidak, kita akan ketinggalan, tidak akan capai Wawasan 2020.

“Kita patut fikir cara lain untuk capai (Wawasan 2020), menjadi negara berpendapatan tinggi, yang bermaksud pekerja turut mendapat gaji yang tinggi hasil produktiviti mereka,” katanya menyampaikan ceramah bertajuk Wawasan 2020: Mengimbau Kembali Pencapaian Kita Setakat ini dan Langkah Seterusnya di sini, semalam.

Mengulas lanjut bila wawasan itu boleh dicapai, Dr Mahathir berkata sukar ditentukan kerana bergantung kepada pelbagai faktor yang tidak boleh dijangka.

0 comments: