Followers

Wednesday, September 30, 2009

Australia, New Zealand sedia hantar misi bantuan ke Samoa

WELLINGTON: New Zealand dan Australia bersetuju menghantar bantuan kemanusiaan segera ke Samoa selepas negara di Kepulauan Pasifik Selatan itu dilanda gempa bumi dan tsunami, awal pagi ini.

New Zealand akan menghantar pesawat Air Force Orion ke Samoa untuk membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa, kata Menteri Luar, Murray McCully.

Beliau berkata, New Zealand masih menunggu laporan sejauh mana kesan buruk bencana itu sebelum menghantar pesawat tentera berkenaan ke Samoa.

"Pegawai diplomatik New Zealand di seluruh Pasifik Selatan kini sedang bersedia bersama pihak berkuasa tempatan untuk mengumpulkan maklumat sebelum misi bantuan itu dilancarkan," katanya.

Australia juga sedang menyiapkan misi untuk membantu Samoa yang disifatkan 'amat memerlukan bantuan' selepas dilanda bencana buruk itu.

Setiausaha Parlimen Australia Bagi Kerjasama Pembangunan, Bob McMullan berkata, setakat ini tiada permintaan bantuan daripada kerajaan Samoa susulan kejadian gempa itu.

"Namun kita bersiap sedia untuk memberikan bantuan yang diminta mereka.

"Mereka adalah negara sahabat dan jiran kami yang akan dibantu dengan apa cara sekalipun," katanya. - AFP

0 comments: