Followers

Tuesday, September 22, 2009

Penipuan kad kredit, tiga rakyat Malaysia ditahan

BANGKOK: Tiga rakyat Malaysia ditahan di sebuah pusat beli belah di pinggir bandar raya Bangkok kerana cuba membeli kamera dengan menggunakan kad kredit palsu.

Ketiga-tiga mereka, iaitu dua daripadanya berumur 28 tahun dan seorang lagi berusia 43 tahun, ditahan polis Thailand sementara menunggu kad kredit mereka diproses di sebuah kedai menjual kamera di wilayah Nonthaburi.

"Namun tanpa pengetahuan mereka, pemilik kedai yang mensyaki terdapat suatu yang mencurigakan pada kad mereka, menghubungi bank untuk mengesahkan kad," kata Ketua Metropolitan Wilayah Satu, Mejar Jeneral Pol Chalong Sonchai kepada media hari ini.

Beliau berkata, polis menuju ke pusat beli belah itu selepas dimaklumkan dua bank komersil dan menemui rakyat Malaysia berkenaan menunggu di kedai menjual kamera.

Ketika pemeriksaan, polis menemui 10 kad kredit palsu didakwa dikeluarkan bank di Eropah dan Amerika Syarikat serta dua pasport palsu.

Puluhan rakyat Malaysia ditahan di Thailand sejak akhir-akhir ini kerana penipuan kad kredit.

Di Penjara Klong Prem dekat sini, lebih dua pertiga daripada 92 banduan Malaysia sedang menjalani hukuman penjara kerana penipuan kad kredit.

Pada Januari lalu, seorang rakyat Malaysia 40 tahun yang dikehendaki Amerika Syarikat kerana mengimbas dan mencuri data pemegang kad kredit, ditahan polis Thailand di Nonthaburi. - Bernama

0 comments: