Followers

Tuesday, September 22, 2009

Perkenal, laksana program Komuniti Selamat dalam konsep 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan supaya memperkenalkan Komuniti Selamat selaras dengan konsep 1Malaysia.

Naib pengerusi yayasan itu, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata MCPF melihat 1Malaysia hendaklah juga digabungkan dengan isu berkaitan keselamatan untuk rakyat Malaysia.

Beliau berkata, 1Malaysia mestilah juga bermakna selamat Malaysia, sebuah negara yang bebas bukan hanya daripada jenayah tetapi juga kemalangan yang tidak diingini dan malapetaka yang berpunca daripada manusia.

Di samping memperbaiki kehidupan individu, komuniti selamat mewujudkan banyak manfaat yang sama seperti memperbaiki tahap keselamatan untuk orang ramai, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pendekatan Komuniti Selamat menyediakan teras penting untuk pemimpin masyarakat, majikan dan pekerja serta anggota beruniform untuk membina satu masyarakat yang lebih baik di tempat mereka bekerja dan tinggal.

Lee berkata, Program Komuniti Selamat merujuk kepada pembangunan masyarakat dan pendekatan yang disampaikan.

"Ia satu pembangunan integrasi budaya keselamatan dalam masyarakat yang menekankan keselamatan di tempat kerja, sekolah, rekreasi, pencegahan jenayah dan lain-lain", katanya .

Sehubungan itu, beliau berkata, program berkesan boleh direalisasikan melalui sinergi keselamatan dan inisiatif kesihatan daripada pelbagai kumpulan komuniti, perbadanan tempatan, peniaga, pertubuhan, persatuan, sekolah, penyedia penjagaan kesihatan, agensi kerajaan dan kumpulan khidmat lain.

Beliau juga menyeru pembuat dasar, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan dan semua peringkat masyarakat untuk menjadikan bandar raya, bandar dan kampung selamat untuk semua. - Bernama

0 comments: